Hari ni dah masuk 10 Syawal. Suasana Aidilfitri masih terasa dan akan lebih meriah lagi apabila tiba hujung minggu. Jadual aku dan famili pada bulan ini penuh dengan jemputan rumah terbuka Aidilfitri. Ada juga jemputan walimatulurus yang wajib aku hadiri. Bercakap tentang hari raya, pastinya anak-anaklah yang lebih seronok.
Jika tahun sebelum ini, Dayyan dan Danish masih kurang mengerti erti kegembiraan berhari raya, tahun ini nampaknya mereka dah pandai memilih baju raya dan seronok menerima duit raya daripada sanak saudara. Jenuh juga Dayyan dan Danish dok berterima kasih setiap kali menerima sampul duit raya. Sampai satu tahap, Danish tercakap dekat nenek saudaranya, ” Danish taknak, Danish dah ada banyaaakkk” apabila dihulurkan sampul duit raya..haha..
Setakat hari ini, koleksi duit raya Dayyan dan Danish hampir mencecah 4 angka. Pada aku, itu satu jumlah yang banyak berbanding zaman aku dahulu. Mujurlah Dayyan dan Danish masih masih belum memahami nilai angka sebanyak itu. Semasa mengira duit raya mereka, Dayyan ada juga minta untuk dibelikan “toys” dengan duit itu. Aku angguk tanda setuju dengan permintaan itu.
Jadi, perancangan awal dengan koleksi duit raya itu akan digunakan sedikit untuk memenuhi permintaan anak-anak. Selebihnya akan disimpan di tabung simpanan yang memberi pulangan yang berbaloi dan best untuk masa depan mereka.
Kat mana tempat terbaik untuk menyimpan duit raya anak?
Sebelum ini, aku pernah berkongsi tentang teknik biakkan duit raya anak untuk jangka masa panjang. Kali ini aku berkongsi tentang 3 tempat best untuk menyimpan duit raya anak.
1# Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)
Pada aku, setiap anak perlu dibukakan akaun ini. Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) adalah merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi.
Kiranya ini salah satu dana untuk membantu anak-anak menyambung pengajian di peringkat diploma/ijazah kelak. Anak-anak wajib ada akaun SSPN-i sebelum memohon pinjaman pendidikan. Tak wajib ada sekiranya ibu bapa mampu untuk menanggung semua pembiayaan pelajaran anak-anak nanti. Pada aku, wajib aku daftarkan sebab aku tak tahu lagi kemampuan aku pada 12 tahun akan datang.
Boleh semak di SSPN-i Plus Online untuk info lebih lanjut.
2# Tabung Haji
Satu lagi tabung simpanan yang bermanfaat untuk anak-anak. Tabung Haji bukanlah instrumen pelaburan yang terbaik. Tetapi akaun ini boleh dijadikan tempat simpanan yang baik sekaligus boleh mendaftar untuk menunaikan haji kelak.
Aku katakan Tabung Haji sebagai satu tempat simpanan yang baik kerana setiap simpanan di sini sudah pun dikenakan zakat dan berpeluang mendapat keuntungan lebih melalui dividen.
3# Akaun Unit Trust Patuh Syariah
Ini tempat simpanan ke-3 yang aku dan isteri fokuskan untuk simpanan jangka panjang anak-anak. Pada aku, ini adalah instumen pelaburan terbaik untuk tempoh masa melebihi 10 tahun. Target kami adalah untuk simpanan pendidikan mereka. Aku katakan ia tempat terbaik kerana pelabur berpeluang mendapat pulangan yang best melalui dua cara; pertama dengan agihan pendapatan (dividen) dan kedua dengan capital gain (peningkatan harga unit).
Akaun unit trust bukanlah sekdar tempat simpanan semata-mata, ianya satu akaun pelaburan rendah risiko. InsyaAllah, jika perancangan kami berjalan lancar, melalui akaun unit trust ini, Dayyan berpeluang menyambung pengajian di peringkat universiti tanpa perlu memohon pinjaman pendidikan.
Jika berminat untuk membuka akaun pelaburan unit trust, bolehlah menghubungi aku di 0172101282. InsyaAllah aku akan membantu sebaik mungkin.
Inilah 3 tempat simpanan duit raya anak yang akan kami fokuskan untuk tahun ini. Ada rezeki lebih, bukan sekadar duit raya sahaja kami depositkan di sini, tetapi duit pendapatan lain juga akan kami agihkan untuk simpanan di tempat-tempat ini juga.
Nota: Anak-anak kian membesar, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyusun strategi dalam hala tuju kewangan mereka.