December 9, 2024

Petua Mudah Turun Kuning Bayi Baru Lahir

Bayi kuning atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai jaundis adalah keadaan di mana kulit dan mata bayi kelihatan kuning serta menjadi kebimbangan kepada ibu bapa.

Hati ibu mana tak resah bila bayi yang baru dilahirkan disahkan jaundice atau demam kuning. Pilu hati tengok bayi menangis tiap kali kena ambil darah.

Sabar ibu! Jangan panik dan gelabah,kerana ianya adalah normal.

Penyakit kuning ini biasanya lebih mudah berlaku dalam kalangan bayi yang lahir pramatang iaitu sebanyak 80 peratus dan 60 peratus berlaku kepada bayi yang lahir matang.

Perunding Pediatrik dan Pakar Laktasi Pusat Rawatan Pakar Kanak-kanak Johor Bahru Dr Hairin Anisa Tajuddin berkata, penyakit kuning atau jaundis neonatal biasanya menyerang bayi pada minggu pertama kelahirannya.

Menurutnya, ini disebabkan sel darah merah bayi yang mengandungi fetal hemoglobin (HbF) mengalami pemecahan secara semula jadi iaitu hemolisis. Pemecahan ini mengeluarkan pigmen berwarna kuning yang dipanggil bilirubin.

Katanya, HbF dihasilkan dan diperlukan bayi ketika dalam kandungan ibu. Selepas dilahirkan HbF tidak lagi diperlukan dan diganti dengan hemoglobin A (HbA) atau hemoglobin dewasa yang berfungsi membawa dan melepaskan oksigen dengan lebih baik berbanding HbF.

“HbF yang asalnya daripada kandungan ibu ini perlu dipecahkan, jadi ke mana proses atau pemecahan ini berlaku? Proses ini dipanggil metabolisme bilirubin.

“Proses metabolisme bilirubin seterusnya berlaku dalam hati dan disimpan sebagai garam hempedu di dalam pundi hempedu lalu dibuang melalui najis.

“Dalam proses ini, kandungan lemak dalam susu ibu amat penting dalam metabolisme bilirubin. Pencernaan lemak memerlukan garam hempedu yang berwarna kuning atau hijau, maka susu yang berwarna putih masuk dalam usus bayi akan bercampur dengan garam hempedu itu menyebabkan pencernaan susu menghasilkan najis kuning atau hijau.

“Sebab itu warna kuning pada najis bayi sangat penting. Jika najis berwarna pucat atau kelabu, bermakna ada sesuatu yang mungkin berlaku antaranya masalah hempedu tersumbat atau biliari atresia.

“Dalam keadaan ini, najis yang pucat atau kelabu terhasil kerana bilirubin tidak turun (ke usus) untuk mencernakan lemak dalam susu ibu menyebabkan berat bayi juga tidak akan bertambah,” katanya.

PETUA MUDAH TURUNKAN KUNING BAYI BARU LAHIR DI RUMAH

1# Susu Ibu

Susu ibu perlulah diberi secara kerap kepada bayi untuk mengelakkan kekurangan air dalam badan agar paras bilirubin dapat dikurangkan dengan lebih cepat. Susu ibu adalah penawar terbaik untuk jaundis. Paling penting, berikan susu ibu, bukan susu formula.

2# Anggur Hitam

Ini adalah petua orang lama untuk hilangkan kuning pada bayi. Walaupun pengamal perubatan moden mengatakan cara ini adalah mitos semata, tetapi tidak salah mencuba kan. Ambil anggur hitam. Ambil perahan airnya dan titiskan ke dalam mulut bayi. Insha allah membantu.

3# Pokok Hujan Lebat

Rebus daun pokok hujan lebat bersama air sehingga mendidih. Tunggu sehingga air suam dan mandikan bayi anda beserta niat semoga kuning anak sembuh.

4# Sengkuang Cina

Kupas kulit, kisar sehingga lumat. Tapis berulang-kali sehingga tiada sisa-sisa sengkuang. Titiskan air tersebut ke dalam mulut bayi. Sengkuang cina dipercayai membantu menyejukan badan bayi & mengurangkan kuning.

5# Daun Kucai dan Asam Jawa

Ambil segenggam asam jawa, ramas & tapis. Ambil secekak daun kucai, kisar hingga halus & tapis. Campurkan kedua bahan & tapis semula untuk kali terakhir supaya tiada sisa yang tinggal. Masukkan ke dalam besen mandian bayi bersama air suam. mandikan bayi dalam masa 20 minit, lebih baik badan bayi tenggelam agar mandian kucai dan asam jawa tadi dapat menyerap ke dalam badan bayi.

6# Jemur Bayi Di Sinaran Matahari Pagi

Letakkan bayi anda berdekatan pintu atau tingkap saat matahari mula terbit (7.00-8.00 a.m)  supaya terkena tempias cahaya matahari yang baru keluar. Jemur sekejap sahaja, lebih kurang 10 minit. Ingat ye, jemur pada awal pagi bukannya sewaktu matahari tengah panas terik.

Perl diingat, mendedahkan bayi kepada cahaya matahari selepas jam 9 pagi hanya akan meningkatkan risiko kanser kulit kepada bayi itu pada suatu masa nanti.

7# Pokok Dukung Anak

Ambil secekak pokok daun dukung anak, rebus sehingga mendidih. Biarkan sehingga suam & mandikan bayi anda. Insya Allah kuning akan berkurangan.

8# Rawatan Fototerapi

Rawatan fototerapi biasanya dimulakan apabila paras bilirubin mencecah tahap tinggi. Namun rawatan ini kebiasannya bergantung kepada umur bayi dan sama ada bayi cukup bulan ataupun pramatang.

Rawatan ini dilakukan oleh pihak hospital dimana bayi akan diletakkan di bawah lampu yang mempunyai jarak gelombang cahaya yang tertentu sama ada putih, biru muda, atau biru pekat, bergantung kepada keadaan bayi dan punca kuning terjadi.

9# Rawatan Tukar Darah

Rawatan ini dilakukan dalam situasi apabila paras bilirubin dalam darah terlalu tinggi dan tidak dapat diturunkan melalui rawatan fototerapi ataupun dalam keadaan klinikal tertentu.

Jangan Beri Susu Kambing Pada Bayi Baru Lahir.

Walaupun susu kambing itu baik, tetapi ia tidak sesuai untuk bayi di bawah 12 bulan kerana mengandungi protein yang tinggi menyebabkan peningkatan asid urik dan darah bayi berasid.

Susu formula yang berasaskan susu kambing juga tidak sesuai kerana urea akan menjadi tinggi, folat menjadi rendah dan ia juga boleh menyebabkan alahan pada bayi.

Pemberian cecair atau makanan selain susu ibu di bawah enam bulan tidak digalakkan kerana ia menyebabkan kemabukan air iaitu pencairan garam sodium dalam darah yang akhirnya boleh mencetuskan serangan sawan pada bayi.

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *