Permohonan UK ETA (Electronic Travel Authorisation) boleh dibuat sepenuhnya secara dalam talian dengan kos £20 (kira-kira RM115). Proses ini biasanya mengambil masa sehingga 3 hari bekerja. Tapi ada juga website atau apps yang menawarkan kelulusan dengan lebih cepat, secepat 10 minit. Namun, fi yang dikenakan mungkin lebih tinggi daripada fi standard £20.
Apa Itu UK ETA?
Kebenaran Pengembaraan Elektronik UK (ETA) merupakan sistem kebenaran digital yang membolehkan pengembara yang layak melawat United Kingdom untuk tempoh singkat. Walau bagaimanapun, sistem ini berbeza dengan ketara daripada permohonan visa tradisional. Sebaliknya, ia menyediakan proses yang dipermudahkan bagi pelawat dari negara-negara tertentu yang sebelum ini menikmati perjalanan tanpa visa ke UK.
Dokumen ini sah untuk tempoh 2 tahun bagi pelbagai kemasukan dan setiap lawatan dibenarkan sehingga 6 bulan. Oh ye, tempoh sah ini juga bergantung kepada tarikh tamat passport anda. Jika tarikh tamat sampai dulu sebelum 2 tahun, maka UK ETA anda akan tamat seperti tarikh tamat passport anda.
Cara Memohon UK ETA
Permohonan boleh dibuat menggunakan aplikasi mudah alih khas (disyorkan) atau melalui laman web rasmi.
Langkah 1: Sediakan Dokumen
Sebelum memohon, pastikan anda telah menyediakan:
- Pasport yang sah (pastikan ia mempunyai cip biometrik).
- Alamat e-mel yang aktif.
- Kad kredit, kad debit, Apple Pay atau Google Pay untuk pembayaran fi.
Langkah 2: Isi Permohonan
- Muat turun aplikasi UK ETA (melalui Apple App Store atau Google Play Store) atau layari Portal Rasmi UK ETA.
- Daftar akaun ringkas dan sahkan e-mel anda.
- Imbas muka surat butiran pasport anda menggunakan kamera telefon.
- Imbas cip pasport dengan melekatkan telefon pada bahagian muka depan pasport anda (pilihan imbasan manual disediakan jika gagal).
- Imbas wajah anda untuk pengesahan identiti dan ambil swafoto (selfie) berlatar belakang kosong.
Langkah 3: Jawab Soalan & Bayar
- Lengkapkan maklumat peribadi dan butiran pekerjaan.
- Jawab beberapa soalan latar belakang (keselamatan dan rekod jenayah).
- Buat pembayaran sebanyak £20 dan hantar permohonan anda.
Kelulusan anda akan dipautkan secara digital dengan pasport anda.
Akses e-mel adalah penting sepanjang proses, kerana pihak berkuasa menghantar mesej pengesahan dan pemberitahuan kelulusan secara elektronik. Selain itu, keluarga yang memohon beberapa ETA perlu memastikan setiap individu mempunyai akses ke alamat e-mel mereka sendiri untuk permohonan masing-masing. Pastikan maklumat pasport anda sentiasa tersedia, kerana anda akan memerlukan butiran tertentu semasa proses dalam talian.
Pihak kerajaan UK jelas mahu border negara mereka lebih ketat sambil pastikan pelawat patuh aturan. Untuk traveller Malaysia, benda ni bukan isu besar cuma kena rancang awal
