November 5, 2024

Cara Terbaik Cegah Influenza

Aku kongsikan info yang aku peroleh daripada pihak Kementerian Kesihatan tentang penyakit yang semakin menular di beberapa tempat di Malaysia, termasuklah di kawasan aku. Semoga info ini sedikit sebanyak membantu kita semua dalam mencegah influenza. Kepada yang terkena, semoga cepat sembuh!

Apa Itu Influenza?

Influenza merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan. Ia boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius. Dalam keadaan tertentu, ia boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti.
  
Bagi negara-negara yang beriklim sederhana, kejadian wabak kerap kali berlaku semasa musim sejuk manakala bagi negara-negara tropika di sepanjang garisan Khatulistiwa (termasuk Malaysia), kejadian wabak berlaku sepanjang tahun tanpa mengikut musim yang tertentu.

Apakah Gejala Influenza?

Secara kebiasaannya, gejala influenza bermula 1 atau 2 hari selepas dijangkiti, dan ianya meliputi :

  • Demam
  • Selesema
  • Sakit tekak
  • Batuk
  • Sakit kepala
  • Sakit badan
  • Sukar bernafas
  • Cirit birit dan sakit perut (khususnya dikalangan kanak-kanak) 

Kerap kali jangkitan virus influenza sekadar menyebabkan gejala jangkitan yang ringan pada kebanyakan orang yang mempunyai tahap immuniti badan yang baik.

Bagaimana Cara Penularan Influenza?

Influenza merebak dari seorang individu yang dijangkiti kepada seorang individu yang lain melalui titisan salur pernafasan (respiratory droplets) apabila bercakap, batuk atau bersin. Titisan ini boleh mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan tersebut.

Siapakah yang Berisiko Tinggi Mendapat Influenza?

  • Kanak-kanak berumur kurang dari 5 tahun
  • Wanita hamil
  • Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas
  • Individu dengan penyakit kronik (kencing manis, darah tinggi, asma, dan lain-lain)
  • Individu obes
  • Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah (seperti pesakit kanser, penghidap HIV, pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi, dan lain-lain.)  

Adakah Terdapat Rawatan yang Khusus bagi Influenza?  

Secara amnya, terdapat rawatan yang berkesan bagi merawat jangkitan influenza, dimana salah satu dari pilihan rawatan adalah dengan menggunakan ubat anti-viral; iaitu tertakluk kepada hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan yang merawat. Rawatan segera adalah amat penting bagi mengelakkan komplikasi penyakit.

Bagaimanakah Cara Mencegah Influenza?

Cara yang terbaik untuk mencegah jangkitan influenza adalah dengan mendapatkan vaksinasi secara tahunan bagi individu yang berumur 6 bulan dan ke atas di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta. 

Untuk bayi, sangat disarankan untuk menyusu susu ibu sehingga usia 2 tahun sebagai langkah awal pencegahan. Sedia maklum, susu ibu mempunyai khasiat yang mampu meningkatkan kekuatan imunisasi tubuh badan anak kecil.

Selain dari mendapatkan vaksin influenza, lain-lain langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

  • Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;
  • Amalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung (face mask);
  • Buang tisu atau penutup mulut dan hidung (face mask) ke dalam tong sampah bertutup sejurus selepas ianya digunakan;
  • Jarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya dalam jarak 1 meter;
  • Rehat di rumah dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala. Sekiranya perlu ke tempat awam, gunakan penutup mulut dan hidung (face mask).

Mengapakah Vaksin Influenza Perlu diambil Secara Tahunan?

Vaksin influenza perlu diambil secara tahunan kerana formulasi vaksin influenza perlu dikemaskini berdasarkan saranan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan kandungannya sepadan dengan virus influenza yang diunjurkan menular pada setiap musim. Ini disebabkan oleh perubahan yang berlaku pada struktur virus influenza secara berterusan dan proses ini dikenali sebagai antigenic drift.

Penawar Semulajadi Influenza

Aku juga ada terbaca tentang penawar semulajadi yang boleh diusahakan bagi merawat dan mencegah influenza ni. Menarik. Bahan-bahan yang digunakan adalah semulajadi dan senang didapati.

Jintan putih jika dibuat teh minuman, digunakan sejak beribu tahun untuk menyembuh selsema dan demam. Mungkin juga boleh digunakan untuk menangani H1N1.

Gabungan habatus sauda dan bawang putih. Kedua-dua bahan ini merupakan anti-viral dan antibiotik alami. Gabungan HS dan BP akan memberikan kesan penyerapan ke sistem imun badan kita 10 kali ganda jika diambil berasinga.

Buah epal hijau 6 biji sehari serta buah-buahan lain yang kaya vitamin C dan antioksiden jambu batu, oren dan sebagainya. Epal mempunyai kesan alkali membunuh virus, sifat sedatif, membantu pemulihan luka, menghalang sembelit (banyak fiber), sumber tenaga dari gula yang mudah serap, pektin dalam fiber terlarut membantu dalam mengurangkan LDL dalam kolesterol, bersifat isotonik membantu hidrasi dan bersifat laksatrif.

Air kelapa muda yang kaya dengan nutrien minerals merupakan minuman isotonik alami dan juga bersifat antiviral. Buah kurma empunyai kesan tonik, mudah dihadam dan memberi tenaga dan menyah toksid. Penawar gabungan dua bahan ini diamalkan dengan jayanya. Buah kurma direndam dalam air kelapa muda selama 2 jam sebelum diminum dan dimakan.

Semoga kita sama-sama dapat menjaga tahap kesihatan dengan sebaik mungkin, dan yang lebih penting, berdoa agar penyakit ini tidak terus merebak dan dipermudahkan kita melaluinya.

Ada sebabnya Allah jadikan penyakit ini, agar kita sedar akan kesilapan kita sebagai manusia, dan sedar bahawa manusia ini tidak berkuasa, tetapi Allah-lah yang berkuasa atas setiap sesuatu.

Sumber: Info Sihat & FB Ana Mahabu

Moga bermanfaat.

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

2 thoughts on “Cara Terbaik Cegah Influenza

  1. Selain usaha fizikal wajib dibuat untuk menghalang wabak ini, usaha-usaha rohani seperti doa dan zikir patut juga diamalkan. Zikir seperti Li-Khamsatun boleh diamalkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *