April 26, 2024

Anwar Ibrahim Tidak Automatik Jadi Perdana Menteri Meski Punyai Sokongan Majoriti

Jarang kami post tentang politik di sini. Tapi hari ini, kami sudah tidak tahan..wajib kongsikan perkongsian daripada Abdul Muein Abadi , seorang Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

1. Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan secara automatik menjadi Perdana Menteri meski pun jika benar beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

2. Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(4) jelas mengatakan bahawa ‘Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

3. Perlembagaan jelas menyatakan bahawa kuasa melantik Perdana Menteri dan membubarkan Dewan Rakyat adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong, bukannya di tangan ahli majoriti Dewan Rakyat.

4. Kini Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sah, dan selepas mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020, hanya beliau yang boleh memilih sama ada untuk meminta baginda untuk membubarkan Dewan Rakyat atau meletak jawatan.

5. Tiada istilah pelantikan Perdana Menteri bergantung 100% pada jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat, sebaliknya perlu perkenan Baginda – seperti mana dalam kes pelantikan Tan Sri Muhyiddin.

6. Situasi semasa juga berbeza dengan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan tempoh hari. Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini tidak bertindak meletak jawatan, seperti mana Tun Mahathir tempoh hari.

7. Tindakan sesetengah ahli parlimen melompat selepas pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dijadikan asas kononnya secara automatik pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin terbatal kerana ia tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama sekali.

8. Hal ini bermakna kesemua ahli Parlimen boleh memilih sama ada untuk mematuhi keputusan baginda – dengan menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri – atau bertindak sebagai pembangkang di Dewan Rakyat. Bukannya menganggap diri mereka sebagai penentu posisi Perdana Menteri kerana segala prosedur telah dijalankan sebaiknya oleh Yang di-Pertuan Agong.

9. Satu lagi pilihan ahli parlimen yang tidak bersetuju dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin adalah dengan mendesak beliau agar membubarkan Dewan Rakyat. Tentulah mereka boleh mengemukakan undi tidak percaya, tetapi bukan dengan menganggap bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim secara automatik akan terus dilantik sebagai Perdana Menteri.

10. Harus diingat, langkah Pakatan mendesak peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin samalah ertinya mendesak beliau membubarkan dewan rakyat. Hakikatnya, keputusan telah dicapai menurut kaedah yang tertib. Tidak seharusnya ada cubaan untuk terus memanjangkan krisis politik di negara kita saat kita berdepan dengan pandemik COVID-19 ini.

11. Sesungguhnya, hari ini krisis politik negara adalah berpunca daripada perebutan kuasa sesama ahli parlimen. Ia telah dileraikan dengan sebaiknya oleh baginda Yang di-Pertuan Agong – dibantu kerjasama sebahagian ahli politik yang bertindak demi kestabilan negara, bukannya demi kepentingan individu. Maka ahli parlimen seharusnya insaf, tidak bertindak memanjangkan krisis ini dengan adegan lompat-melompat yang mengimpak kestabilan yang telah diputuskan Baginda.

Semoga Allah peliharakan kestabilan negara kita.

Allah Maha Besar,Daulat Tuanku.

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

One thought on “Anwar Ibrahim Tidak Automatik Jadi Perdana Menteri Meski Punyai Sokongan Majoriti

  1. Memang sakit hati bila tengok pasal pengumuman anwar semalam tu, dalam keadaan negara yang masih nak cuba pulih dari huru hara covid19 boleh dia sibuk nak jadi PM dan tukar kerajaan baru. Kesian kan lah pada rakyat negara ini yang masih lagi tertekan dek kerana masalah covid19 tetapi ahli politik ini macam tak boleh berfikir, sibuk nak berebut geram lak rasa.

    PM tepi je udahla, tak payah sibuk nak jadi PM negara

Leave a Reply to Siti Norhidanah Mohd Miswan Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *