Hari ini dah masuk hari ke-6 Perintah Larangan Pergerakan dilaksanakan di Malaysia sebagai usaha mengurangkan penularan wabak COVID-19. Hari ini juga, hari pertama aku mendapat arahan daripada bos aku untuk masuk ofis kerana ada kerja penting untuk diselesaikan. Bukan senang-senang boleh ke ofis ye. Dua sekatan jalan raya (roadblock) terpaksa aku redah. Tak risau sangat jika ditahan oleh pihak polis/ATM kerana surat daripada pihak majikan yang menyatakan aku perlu bertugas (Essential Service) telah dikeluarkan.
Dalam perjalanan ke Bandar Sunway, aku ada mendengar sidang media khas oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beberapa khabar ‘gembira’. Salah satu daripadanya ialah pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)yang berumur bawah 55 tahun dibenarkan membuat pengeluaran dengan jumlah maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan buat bagi meringankan beban kos sara hidup akibat impak wabak COVID-19.
Dengan inisiatif ini, ditambah pula dengan kadar caruman yang telah dikurangkan sebanyak empat peratus bermula April 2020, ia akan membolehkan para pekerja mempunyai lebihan wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan harian.
Sehubungan dengan pengumuman ini, kecoh seketika di media sosial tentang hal ini. Ada yang bersetuju, ada juga yang tidak bersetuju. Yang tidak bersetuju dengan kebenaran pengeluaran sejumlah simpanan daripada Akaun 2 KWSP ini, menentang sekeras-kerasnya dan mempersoalkan kenapa tidak kerajaan sahaja yang mengeluarkan peruntukan sebagai bantuan?
Aku geleng kepala dengan mereka yang hanya tahu komplen tanpa sedikit pun rasa nak memahami.
Pengeluaran RM500 Akaun 2 KWSP Adalah Pilihan.
Perlu difahami, kenyataan Perdana Menteri adalah satu pilihan, bukan paksaan.
Ye aku faham. Itu adalah duit simpanan hari tua mereka yang mencarum. Tetapi jika keadaan mendesak, apa salahnya untuk dikeluarkan demi kelangsungan hidup? Aku pasti ianya langkah yang lebih baik berbanding dengan membuat pinjaman daripada Ah Long atau syarikat kredit yang mengenakan faedah tak masuk akal.
Kenapa tidak kerajaan sahaja mengeluarkan peruntukan?
Sebagai rakyat, perlu juga memahami, inisiatif itu merupakan langkah yang telah diputuskan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), sebagai sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung. Ringgit Malaysia bukanlah semudah itu untuk dicetak dan diagihkan kepada rakyat. Terutama dalam keadaan mencabar seperti hari ini.
Berjuta Ringgit lagi peruntukan kecemasan perlu disalurkan kepada pihak yang lebih memerlukan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerajaan negeri untuk membantu usahawan kecil yang teruk terjejas akibat wabak COVID19.
Tenang tenang sahaja.
Kalau kau orang rasa tidak perlu untuk keluarkan duit KWSP itu, jangan mohon keluarkan RM500 sebulan pada 1 April nanti. Supaya duit dalam Akaun 2 boleh kekal untuk simpanan hari tua.
Mungkin ada pencarum lebih memerlukan dan menghargai inisiatif ini. Mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing. Mungkin mereka boleh membeli barang-barang keperluan dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga. Nasib mereka mungkin tidak sebaik nasib kita.
Cara Pengeluaran Maksimum RM500 Melalui i-Lestari
Pencarum KWSP boleh membuat permohonan pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 bermula 1 April 2020. Ahli dijangka menerima wang pengeluaran tersebut melalui akaun bank masing-masing pada 1 Mei 2020.
Pihak KWSP meletakkan i-Lestari sebagai keutamaan untuk dilancarkan secepat mungkin. Emel khas bagi i-Lestari juga telah disediakan iaitu ilestari@epf.gov.my untuk ahli menghantar sebarang pertanyaan yang berkaitan.
Soalan berserta maklum balas ini kemudiannya akan dikemaskini dalam senarai soalan lazim (FAQ) sedia ada yang telah dimuat naik ke laman sesawang www.kwsp.gov.my.
Cara Keluarkan Duit KWSP Menggunakan i-Akaun.
7 Step Paling Mudah Dan Cepat Untuk Daftar i-Akaun KWSP
Eh..masih belum ada i-Akaun? Yang masih aktif mencarum, mungkin dah sedia ada. Yang dah lama tak mencarum, mesti terlepas pandang tentang i-Akaun kan.
- Pergi ke mana-mana Kios atau Kaunter KWSP yang berhampiran untuk mendaftar. Selepas selesai mendaftar anda akan menerima SMS yang mengandungi ID Pengguna dan Kata Laluan sementara untuk iAkaun anda.
- Layari www.kwsp.gov.my, pergi kepada bahagian “Saya Ahli (i-Akaun)” dan tekan butang “Log Masuk”.
- Masukkan ID Pengguna dan Kata Laluan sementara yang diterima melalui SMS untuk aktifkan akaun. *Pengaktifan perlu dilakukan dalam masa 30 hari anda menerima SMS.
- Baca Terma Dan Syarat yang dipaparkan dan pilih “Setuju”.
- Kemudian tukar ID Pengguna sementara kepada yang baharu (kekal), masukkan Kata Laluan baharu, pilih imej online untuk pengesahan dan masukkan Frasa Rahsia anda. *Jika ID Pengguna tidak diubah, ID Pengguna sementara akan digunakan sebagai ID Pengguna kekal.
- Apabila pengaktifan selesai, anda akan menerima notifikasi berjaya di skrin anda.
- Log masuk dengan maklumat akaun baru untuk akses i-Akaun KWSP anda.
Jangan Tertipu. Awas!
Terdapat pelbagai unsur penipuan dan berita palsu yang disebarkan terutamanya melalui WhatsApp, Facebook dan Twitter. Para ahli diingatkan bahawa KWSP hanya membuat makluman kepada ahli melalui laman sesawang dan saluran media sosial rasmi.
Retirement Fund VS Emergency Fund
Kita kena ingat juga KWSP ini sebenarnya ialah ‘Retirement Fund’ kita bukan ‘Emergency Fund’. Simpanan untuk hari tua. Ikutkan syarat KWSP, pencarum hanya dibenar melakukan pengeluaran Akaun 2 untuk beberapa perkara seperti pembelian rumah dan bayaran pendidikan. Manakala Akaun 1 hanya dibenarkan untuk pelaburan unit trust.
Setkan dalam minda kita, simpanan KWSP untuk Retirement Fund buka sebaliknya. Jadikan inisiatif kelonggaran pengeluaran RM500 sebagai pilihan terakhir. Cuba dapatkan dahulu bantuan daripada ahli keluarga lain atau rakan-rakan NGO. Aku pasti, di saat sebegini, ramai yang berlapang dada untuk menolong.
Sedar tak sedar, kita lebih suka ‘komplen’ setiap kali menerima arahan/berita yang kita kurang gemar. Tetapi kita lupa untuk BERSYUKUR dengan apa yang kita miliki hari ini, selagi kita belum kehilangannya.
thanks PM… mmg sangat membantu RM500 melalui KWSP…
bina rumah atas tanah sendiri
bina rumah
rumah banglo
kontraktor rumah