December 7, 2024

Buat Duit Dengan Bisnes Homestay

Industri pelancongan dan perhotelan antara industri terjejas teruk akibat penularan Covid-19, sejak awal tahun ini. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan pada bulan Jun tempoh hari, namun kerancakan industri pelancongan dalam negara masih tidak sehebat tahun lepas.

Pelancong tempatan Malaysia sendiri tidak ‘berani’ seperti sebelum ini untuk melancong ke tempat terbuka dan menginap di hotel-hotel di sekitar Malaysia. Keadaan ini memberi kesan negatif secara langsung kepada pemilik hotel. Tambahan pula, pelancong dari luar negara masih tidak dibenarkan masuk ke dalam Malaysia untuk tujuan melancong. Kesannya, penutupan hotel demi hotel semakin meningkat.

Ada yang mula beralih kepada servis menawarkan sewaan homestay mengikut kadar harian mahupun jam. Hari ini, ramai yang lebih suka memilih homestay berbanding hotel atas beberapa sebab seperti kemudahan yang lebih lengkap, lebih selamat ie:disanitasi sebelum check in dan tidak ramai pengunjung dalam satu-satu masa dan lebih berbaloi.

Ada juga yang bertanya bagaimana cara terbaik buat duit dengan bisnes homestay ini? Besarkah modalnya? Sukarkah cara mengurus perkhidmatan homestay ini? Ada ke orang nak sewa unit homestay dalam situasi pandemik hari ini?

Kami ada beberapa kawan yang terlibat dalam bisnes homestay secara aktif. Mereka ‘setup’ bisnes ini pun dengan cara D.I.Y. Makna kata, mereka sendiri yang cari lokasi, mereka mencari unit apartmen/rumah secara individu untuk disewa, mereka jugalah yang mencari pekerja yang boleh dipercayai menjaga unit mereka, mereka jugalah yang kerah idea membuat hiasan dalam dan mereka juga yang memasarkan bisnes mereka ini kepada orang ramai.

Kami juga berkesempatan untuk mendengar sendiri 5 perkara mudah yang perlu dilakukan sebelum dapat menjana pendapatan dengan bisnes homestay. Untuk makluman, permintaan untuk menginap di homestay mereka yang terletak di Shah Alam mendapat sambutan hebat walaupun negara sedang diuji dengan penularan wabak Covid-19 hari ini.

1# Sewa Apartmen/Kondominium Dengan Kemudahan Lengkap

Untuk ‘run‘ sebuah perniagaan berkonsepkan ‘servis’ sebegini, tidak memerlukan anda membeli dan memiliki sebuah rumah / apartmen / kondominium. Ikut konsep Grab/Uber yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan tanpa memiliki sebuah kereta pun.

Langkah pertama, anda perlu mencari unit kosong untuk disewa. Kongsi kawan kami ini, mereka lebih sukakan apartmen yang dilengkapi fasiliti seperti kolam renang dewasa & kanak-kanak, gym, dekat dengan shopping mall, parking disediakan. Contohnya i-City I-SOHO terletak dengan jarak berjalan kaki ke shopping mall terbesar di Shah Alam, Central i-City.

Sebenarnya, lain tempat, lain kemudahan dan ada keunikan tersendiri yang boleh dijadikan kelebihan untuk homestay mereka. Seperti homestay di Melaka, boleh jadi homestay di sana disukai kerana penginapan dekat dengan pantai atau tempat-tempat bersejarah untuk dilawati. Ini semua susah dijumpai di tempat lain.

Biasanya kawan kami bertiga ini akan menyewa 3 unit di aras yang sama. Walaupun unit disewa daripada pemilik yang berbeza, mereka akan berunding dan ‘deal’ perkara yang sama dengan tuan rumah. Mereka juga akan berterus-terang dengan pemilik, tujuan asal mereka menyewa iaitu untuk dijadikan homestay.

Adalah menjadi satu kesalahan melanggar kontrak sekiranya akan membuat sewaan unit, tetapi tidak tinggal di situ, sebaliknya menyewakan unit tersebut kepada pihak lain. Berterus-terang adalah cara terbaik.

2# Upah Seseorang Untuk Urusan Daftar Masuk/Keluar dan Pembersihan

Selepas selesai urusan menyewa unit, mereka akan mencari seseorang yang boleh menjaga unit mereka. Ye la, masing-masing di luar Shah Alam. Biasanya mereka akan mencari ‘cleaner’ yang bertugas di aras yang sama dengan unit sewaan mereka. Cleaner ini akan memegang satu kunci unit untuk memudahkan urusan daftar masuk dan keluar penyewa homestay ini. Selain itu, mereka akan bertanggungjawab membersihkan unit selepas penyewa daftar keluar dan sebelum penyewa baru membuat daftar masuk.

Kawan kami ini ketiga-tiganya menggunakan servis daripada individu yang sama. Jadinya, upah bulanan yang diterima oleh petugas itu setiap bulan pastinya lebih menarik.

3# Fasiliti Tambahan

Homestay yang lebih lengkap pasti lebih menarik perhatian pengunjung. Selain dilengkapi katil dan dapur, fasiliti seperti kolam renang, gym, parking pasti menjadi poin penting.

Sediakan juga fasiliti lain di dalam unit sebagai ‘added value’ seperti sambungan internet, TV , mesin basuh, pengering baju, rice cooker dan sedikit pinggan mangkuk. Kemudahan ini semua pasti menjadi daya penarik untuk mereka menempah homestay anda.

4# Dekorasi Dalam Yang Lebih Simple

Kongsi mereka lagi, biasanya mereka akan menggunakan interior designer kegemaran untuk menasihati dekorasi dalaman terbaik untuk setiap unit homestay. Untuk homestay, hiasan dalaman akan berkonsep minimalist. Tak perlu terlalu banyak hiasan, simple tetapi menarik.

5# Hebohkan Tentang Homestay Anda

Bila semua perkara di atas sudah tersedia, barulah mereka mula menghebahkan tentang homestay mereka. Mereka akan meranncang bersama marketing yang terbaik sehingga ‘reach’ pada bakal penyewa homestay mereka. Platform pemasaran utama yang digunakan adalah AirBNB dan Media Sosial.

homestay airbnb

Sedia maklum, traveller lebih suka menggunakan AirBNB yang menawarkan homestay yang menarik dengan harga terbaik berbanding hotel. Sistem yang digunakan oleh AirBNB juga memberi kelebihan kepada penyewa dan host homestay. Lebih selamat berbanding tempahan secara terus.

5 perkongsian oleh kawan kami ini boleh dijadikan panduan kepada mereka yang ingin mula menceburi bisnes homestay ini. Pada situasi pandemik hari ini, permintaan untuk menginap di homestay adalah lebih tinggi berbanding hotel biasa atas faktor keselamatan.

Jadi, ini masanya untuk anda buat duit dengan bisnes homestay.

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *