Masih tidak ramai yang berani terjun ke ‘game’ rumah lelong.
Proses membeli rumah lelong tidak sama seperti membeli rumah subcons atau subsale. Majoriti ramai tidak berani membeli rumah lelong sebab tidak tahu cara dan tips buat untung dengan rumah lelong.
Pasti ramai yang akan membeli rumah sekiranya mereka tahu cara terbaik dan benefit yang diperoleh daripada pembelian rumah lelong. Mari kami kongsikan otai rumah lelong Malaysia Shafie Bustaman tips membeli rumah lelong dengan mudah, cepat dan paling penting, selamat.
5 Tip Shafie Bustaman Beli Rumah Lelong Untuk Panduan Semua:
1# Semak Kelayakan Pinjaman
Sebelum beli rumah lelong kat mana-mana lelongan awam yang ada kat luar sana, pastikan anda semak kelayakan pinjaman terlebih dulu.
Setiap orang ada pendapatan dan komitmen yang berbeza-beza. Kira dulu berapa peratus komitmen bayaran pinjaman bulanan berbanding dengan pendapatan bulanan anda.
Kiraan Debt Service Ratio atau Debts Burden Ratio harus dikira terlebih dulu sebelum anda melangkah masuk ke dalam dewan lelongan.
2# Kira Modal Dalam Tangan
Bila anda nak beli mana-mana hartanah (tak kira rumah lelong atau subsale), wajib kira berapa modal tunai yang ada dalam tangan (simpanan).
Untuk pembelian rumah lelong, anda tak boleh lari daripada bayar duit muka sebanyak 10% daripada harga rumah yang menang bid.
Ambil kira juga lain-lain kos yang terlibat, antaranya seperti berikut:
- duit muka 10%,
- yuran guaman – perjanjian pinjaman dan MOT,
- laporan penilai,
- kos baik pulih, dan lain-lain yang berkaitan.
Sebab ada macam-macam harga dalam senarai rumah lelong ni, ada yang bawah RM100,000, ada yang atas RM200,000, dan ada juga yang atas RM500,000.
Jadi, pilih rumah yang bersesuaian dengan tunai yang ada dalam tangan.
Kos baik pulih agak subjektif sebab kos-kos tu bergantung kepada keadaan rumah lelong yang anda berjaya beli.
Ada kes yang perlu dicat semula, ada yang perlu buat pendawaian semula, dan ada yang cuma tinggal basuh saja, tanpa perlu baik pulih satu pun benda.
3# Beli Rumah Di Kawasan Kurang Tumpuan
Pilihan rumah lelong jugak ada di pelbagai tempat. Tak semestinya hanya tertumpu di Lembah Klang saja.
Di setiap negeri pasti ada unit-unit lelong yang akan dilelongkan oleh pihak bank.
Ada banyak faktor yang boleh kita ambil kira dalam hal memilih lokasi hartanah, yang mempunyai kadar sewa yang tinggi dan juga kenaikan harga hartanah yang cepat. Jika anda menang unit di luar kawasan pun, tetap boleh memberi pulangan lumayan sekiranya dijadikan rumah sewaan untuk jangka masa pendek seisi keluarga seperti homestay atau chalet. Asalkan unit anda itu mempunyai nilai tambah, pasti menjadi cariaan ramai.
Ada je yang menang pada harga 30 hingga 45% daripada harga pasaran (market value) sebenar. Memang untung. Tak perlu sangat pun LRT atau MRT. Sekarang, Uber dan GrabCar kan ada. Tapi kalau dapat, memang bonus la kan.
Berikut adalah faktor yang boleh dipertimbangkan dalam memilih hartanah di luar sana:
- berhampiran dengan stesyen LRT/MRT,
- kemudahan yang lengkap (dekat dengan bank, sekolah, atau pejabat pos),
- pusat membeli-belah yang berhampiran (TESCO, Giant, Jaya Jusco, atau McDonalds),
- berhampiran kolej dan universiti,
- dekat dengan hospital swasta atau kerajaan,
- kawasan perindustrian atau komersil.
Ada banyak lagi petunjuk (indikator) yang boleh kita guna pakai, dan ini pasti akan membantu anda membuat keputusan memilih kawasan yang sesuai dengan kapasiti kewangan.
Ada juga yang memilih lokasi berdasarkan peta laluan MRT yang bakal siap pada tahun akan datang.
4# Anda Menang Lelong, Kena Redha
Kena ingat tau. Rumah lelong dijual secara “as is basis”.
Apa pun keadaan fizikal rumah tu, itu yang anda akan dapat.
Apa-apa kerosakan pada rumah tu ditanggung 100% oleh pembeli.
Semestinya anda tak boleh buat tuntuntan kos membaik pulih kepada pihak bank, pelelong, atau pemilik lama rumah tu. Ada juga unit rumah yang terbengkalai yang akan dilelong oleh pihak bank.
Bayangkan kalau dah terbeli rumah tu tanpa melawat rumah terlebih dulu. Ada je rumah lelong yang rosak teruk.
Cari rumah lelong yang anda senang nak uruskan. Contohnya, anda beli unit kosong (non-tenanted). Kalau yang ni, anda takde nak pening kepala uruskan penyewa lama.
Dah jadi tanggungjawab pembeli untuk keluarkan penyewa lepas menang lelongan tu.
5# Hadkan Harga Termurah
Setiap kali lelongan, kalau takde pembida, harga rumah tu akan turun sebanyak 10%.
Tapi, sampai bila nak tunggu harga rumah jadi rendah gila?
Yang terbaik, masuk saja lelongan tu sebab bukan anda je yang ada fikiran macam tu. Bila dah beribu lemon orang masuk nanti, peluang anda nak menang pulak akan jadi semakin tipis.
6# Kalah Menang, Dah Jadi Adat Dunia Rumah Lelong
Bila berada dalam bilik lelongan, pastinya akan ada perasaan teruja untuk memenangi rumah yang telah anda daftarkan.
Dengan perasaan yang membuak-buak, ada kemungkinan anda boleh hilang kawalan emosi dalam proses membida rumah tersebut.
Campur pulak dengan pujuk rayu kawan-kawan atau sedara mara, pastinya akan menaikkan lagi ego anda untuk lawan dan terus lawan.
Banyak kes berlaku di mana apabila ramai pembida lain yang mendaftar untuk satu-satu unit rumah lelong, harga yang terjual dalam dewan lelongan akan melebihi harga pasaran. Masing-masing beremosi untuk menang pada hari lelongan.
Pastikan anda dah buat kira-kira dan tetapkan had bidaan untuk rumah tu.
Kalah dalam bilik lelongan adalah perkara biasa. Tidak perlu rasa malu atau pun terkilan kerana banyak lagi rumah lain yang akan dilelong.
Paling penting adalah anda menang pada harga yang menarik (bawah harga pasaran).
Selamat mencuba. Sekian, terima kasih.
tips yg sangat baik… saya pun pernah beli sekali rumah lelong…