March 31, 2020

Bermula Tahun 2020, Wajib Guna Kerusi Kereta Bayi.

Pada sesiapa yang masih belum tahu, bermula tahun 2020, ibu bapa yang membawa bersama bayi atau anak kecil di dalam kereta, wajib meletakkan anak kecil itu di dalam kerusi kereta bayi atau kanak-kanak (kid car seat). Makna kata, pangku baby ke, anak-anak dok main melompat kat kerusi belakang ke, dah tak boleh. Anak kecil wajib diletakkan di dalam kerusi khas untuk mereka demi keselamatan.

Aku dah praktikkan bubuh Dayyan dan Danish dalam car seat mereka sejak kecil. Mula-mula meraung gak tak nak dok, tapi lama-lama dah biasa. Namun, sejak mereka besar ni, aku dah uninstall car seat mereka. Sekarang Dayyan dan Danish juga pakai tali pinggang keledar. Nampak gaya, nak kena pasang lagi la nanti.

Penggunaan kerusi kereta untuk penumpang bayi atau kanak-kanak di Malaysia amat kurang berbanding negara luar. Yang peliknya, bila rakyat Malaysia ke luar negara seperti Australi atau Jepun, pandai dan sedar pula mereka menggunakan kerusi kereta bayi..hehe..

Namun, bermula tahun 2020, penggunaan kerusi kereta bayi adalah mandatori selepas ditangguhkan pada tahun 2019.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati tahap kesedaran di kalangan ibu bapa mengenai pemasangan kerusi kanak-kanak ini masih belum cukup memuaskan.

Justeru, Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama agensi lain termasuk MIROS sendiri dan juga Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) sedang memperhebatkan usaha dalam memupuk kesedaran di kalangan ibu bapa mengenai perkara ini.

Malaysia merupakan salah satu negara yang menandatangani perjanjian World Forum for Harmonization of Vehicle Regulations WP 29. Salah satu peraturan yang Malaysia bersetuju untuk menggunapakai adalah peraturan United Nations Regulation 44 atau UN R44 iaitu Uniform Provisons Concerning the Approval of Restraining Devices for Child Occupants of Power-Driven Vehicles atau Child Restraint System (CSR).

Umur Bayi Untuk Penggunaan Kerusi Kereta Bayi.

Untuk kanak-kanak di bawah berat 25 kg (berat adalah ukuran lebih tepat berbanding usia) haruslah diletakkan di kerusi khas kanak-kanak (Kumpulan 0+, 1 dan 2, kerusi berkenaan diposisi menghadap belakang) dan bagi yang di bawah berat 36 kg pula boleh duduk di tempat duduk biasa dengan tambahan pemasangan booster seat atau booster cushion (Kumpulan 3) tetapi dalam masa yang sama pastikan dipakai tali pinggang keledar.

Kenapa Perlu Penggunaan Kerusi Kereta Bayi?

  1. Statistik dari Malaysian Institute of Road Safety Research (Miros) menujukkan kematian kanak-kanak didalam kereta dapat dikurangkan kepada 70% dengan menggunakan car seat yang sesuai dan dipasangkan dengan betul.
  2. Ciri-ciri sesebuah car seat bertindak untuk mengurangkan kecederaan kepada kanak-kanak yang duduk di dalamnya. Ia direka untuk untuk melakukan 3 perkara, iaitu melindungi dan menjauhi badan dari struktur kenderaan semasa berlaku kemalangan, mengurangkan momentum dalam keadaan yang terkawal, dan menyebarkan daya kearah anggota badan yang lebih kuat dengan kecederaan minimum terhadap tisu dalaman yang lembut.

Tips Memilih Kerusi Kereta Bayi.

  • Mematuhi standard United Nation, ECE Regulation 44.04 (atau R 44.03) atau i-Size Regulation yang terbaru iaitu, R129. Sila rujuk label “E” pada car seat
  • Pastikan car seat sesuai dengan berat kanak-kanak dan saiz
  • Pastikan car seat di pasang dengan betul mengikut arahan pengeluar
  • Pastikan car seat tersebut selamat.

Tips Penggunaan Kerusi Kereta Bayi Yang Selamat:

Bayi di bawah 10 kg, perlu memandang ke belakang.
  • Carseat perlu sentiasa dipasang di tempat duduk belakang penumpang.
  • Dapatkan bantuan pakar semasa pertama kali memasang.
  • Jangan membeli carseat yang telah digunakan.
  • Bayi yang baru dilahirkan iaitu berat kurang 10kg, harus diletakkan dengan memandang ke belakang.
  • Tali pinggang keledar mestilah di atas bahu anak anda. Pastikan tidak terlalu longgar atau terlalu ketat.Pastikan hanya muat satu jari di dada anak anda.
  • Jangan sesekali meletakkan tali pinggang keledar di bawah ketiak atau belakang anak anda.

Setuju Atau Tidak?

Walaupun ada yang kurang bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang wajib guna kerusi kereta untuk anak-anak, namun, kami amat menyokong usaha Kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi kanak-kanak untuk pemilik kenderaan yang membawa anak kecil. Ini kerana kita kebelakang ini kerap terbaca insiden kemalangan yang menyebabkan kematian kanak-kanak, malah ada dilaporkan tercampak keluar dari kereta.

Jadi, menerusi peraturan kerusi kanak-kanak, ia diharapkan dapat mengurangkan kadar kematian, selain mengurangkan impak kecederaan ke atas kanak-kanak.

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

One thought on “Bermula Tahun 2020, Wajib Guna Kerusi Kereta Bayi.

  1. walaupun kita rasa macam membebankan tapi tak salah undang-undang baru ini, untuk melindungi anak-anak kita.

    Usha-usha jugak booster seat untuk aiyan, sebab tengok saiz dia memang dah macam budak darjah 6, dengan berat yang dekat 50kg dh…
    rasanya boleh dah pakai seat belt kalau tak jumpa booster yang sesuai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *