October 12, 2024

Hak Hadhanah Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

Baru-baru ini, tular kisah bekas suami usahawan kosmetik Hasmiza Othman (DS Vida), membuat tuntutan hadhanah di Mahkamah. Bekas suami DS Vida yang diwakili peguamnya memfailkan tuntutan hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) bersama anak-anak. Perbicaraan kes masih berlangsung. Ini antara kes yang berlaku sekarang tentang kisah hak jagaan anak-anak.

Lantaran kes yang sedang dalam perbicaraan ini, ramai ibu bapa mula mendalami maksud sebenar hak hadhanah. Ada yang pertama kali mendengar terma tersebut, ada yang dah tahu namun masih tidak memahami dengan lebih mendalam.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”.

Anak-anak adalah anugerah yang tidak ternilai buat ibu bapa. Kehadiran mereka bukan saja menyerikan rumah tangga, malah mereka juga menjadi ladang pahala selepas kita tiada lagi di dunia.

Agama Islam menuntut setiap penganutnya supaya memelihara nasab keturunan yang baik, dan salah satu caranya adalah melalui konsep Maqasid al-Syariah yang terkenal iaitu hifz al-nasl.

“Hifz al-nasl” boleh diertikan sebagai penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan keturunan manusia di atas muka bumi ini.

Penjagaan keturunan ini wajib dijaga dari kedua dua aspek rohani & jasmani untuk memastikan kelangsungan tujuan manusia diutus ke muka bumi iaitu sebagai khalifah yang mentadbir alam ini menurut undang undang yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Dari sudut rohani dan kemasyarakatan pula, zuriat yang lahir daripada hubungan yang tidak sah suami dan isteri, akan disisihkan kesan daripada hilangnya jaminan berbentuk nafkah dan nasab kekeluargaan. Ini adalah hak asasi bagi setiap manusia.

Print

Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran, Surah Al Baqarah Ayat 266:


 أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَن تَكُونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَأَعْنَابٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ لَهُ فِيهَا مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ وَأَصَابَهُ الْكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفَاءُ فَأَصَابَهَا إِعْصَارٌ فِيهِ نَارٌ فَاحْتَرَقَتْ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).”

Isu pernceraian bukanlah menjadi alasan untuk bekas suami isteri memastikan anak-anak mereka terjaga dan dilindungi sebaiknya. Ini termasuklah memberikan nafkah berupa makanan dan tempat tinggal yang selesa & selamat. Walau apa terjadi, hubungan anak & ayah/ibu tidak akan terlerai seperti terlerai satu ikatan perkahwinan.

Agama Islam memberikan kita panduan yang jelas untuk memastikan penjagaan keturunan manusia supaya kekal membiak di bumi ciptaan Allah SWT, dan mampu melaksanakan tugas hakiki seorang Khalifah.

Apakah Maksud Hadhanah?

Berikut dinyatakan beberapa maksud bagi hadhanah:

  • Berkata Syeikh Ali al-Jurjani, “hadhanah” ialah: “تربية الولد” (pengasuhan anak). Rujuk al-Ta`rifat (hlm. 88)
  • Menurut al-Mu`jam al-Wasit (1/182), kalimah “hadhanah” bermaksud:

“Wilayah kuasa ke atas kanak-kanak untuk mendidiknya dan menguruskan urusannya.”

PEGUAM SYARIE MALAYSIA
Caption (sumber gambar: peguam syarie)

Secara umumnya, Hadhanah boleh ditakrifkan sebagai penjagaan anak lelaki dan perempuan kecil yang belum mampu menguruskan kehendak dirinya sendiri. Ini tertakluk kepada suami isteri masih dalam perkahwinan mahupun selepas bercerai .

Terdapat banyak kitab yang telah ditulis oleh ulama tentang pengertian hadhanah, anda boleh rujuk link di bawah untuk rujukan lanjut.

Rujukan tambahan

Apakah Tujuan Hukum Hadhanah?

Tujuan utama perlaksanaan hadhanah ialah menjaga kebajikan atau maslahat kanak kanak. Kajian moden sendiri membuktikan, usia 7 tahun pertama kanak kanak sangat penting dalam perkembangan sahsiah diri & emosi anak anak. Iaitu peringkat usia kanak kanak belum mumaiyiz.

Seorang pengasuh atau penjaga yang dipertanggungjawabkan mestilah mampu memberikan sepenuh kasih sayang kepada anak sewaktu berada dalam tanggungannya.

Inilah hikmah turutan penjaga hadanah dalam Islam diberikan kepada waris dari belah perempuan dahulu kerana wanita memang dikurnikan fitrah lemah lembut & penyayang kepada anak anak.

Dalam Islam, ibu lebih berhak berbanding bapa dalam penjagaan anak mereka kerana keupayaannya yang lebih sabar serta kasih sayangnya mengasuh dan mendidik anak. Sesuatu yang sangat didambakan anak-anak pada usia tersebut.

Di Malaysia, jika berlaku perselisihan di kalangan penjaga kanak-kanak yang tersenarai dalam turutan. urusan penentuan penjagaan kanak-kanak diselia oleh Mahkamah Syariah dan hendaklah mengikut turutan yang telah ditetapkan oleh Islam demi kepentingan anak-anak tidak.

Ayat-ayat Al Quran berkaitan Hadhanah.

1. Surah Al-Baqarah ayat ke 233

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Ertinya: “Dan ibu-ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama tempoh dua tahun yang lengkap bagi mereka yang mahu menyempurnakan susuan.”

Dua orang tokoh ilmuwan islam iaitu Imam al-Qurthubi & Imam Abu Hanifah sependapat dalam menaksirkan ayat ini:

“Ayat ini menjadi dalil di sisi Imam Malik bahawa hadhanah (hak penjagaan anak) adalah milik bagi seorang ibu. Maka dia berhak menjaga anak lelaki sehingga tempoh baligh dan anak perempuan sehingga tempoh dia berkahwin. Ia (hak penjagaan anak) adalah milik ibu. Inilah juga pendapat yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah.’’

Hadis Berkaitan Hadhanah

Hadis 1 – Riwayat Abu Daud (2276). Dinilai hasan oleh Syeikh Al al-Baani.

Ianya sabit melalui hadis Nabi SAW melalui Abdullah bin `Amr R.Anhuma ketika mana datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, puting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah”.

Berdasarkan dalil di atas begitu juga dengan dalil-dalil yang lain, telah ijma` sekalian muslimin akan pensyariatan hadhanah ini bagi menjaga kebajikan si anak yang masih kecil setelah berlaku penceraian di antara sepasang suami isteri.

Hadis 2 – Riwayat Abu Daud (2277)

Rasulullah SAW bersabda:

فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ زَوْجِى يُرِيدُ أَنْ يَذْهَبَ بِابْنِى، وَقَدْ سَقَانِى مِنْ بِئْرِ أَبِى عِنَبَةَ وَقَدْ نَفَعَنِى. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اسْتَهِمَا عَلَيْهِ. فَقَالَ زَوْجُهَا: مَنْ يُحَاقُّنِى فِى وَلَدِي، فَقَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا أَبُوكَ، وَهَذِهِ أُمُّكَ، فَخُذْ بِيَدِ أَيِّهِمَا شِئْتَ فَأَخَذَ بِيَدِ أُمِّهِ فَانْطَلَقَتْ بِهِ

Maksudnya: “Seorang perempuan menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasululllah! Bekas suamiku ingin mengambil anakku. Anakku telah memberiku minum daripada telaga Abu ‘Inabah. Sesungguhnya, dia amat berguna kepadaku.”

Rasulullah SAW bersabda: “Buatlah undian.” Maka bekas suami perempuan tersebut berkata: “Sesiapa yang boleh menghalangku daripada anakku!”

Rasulullah SAW bersabda: “Ini bapamu dan ini pula ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu pilih.” Lalu, anak tersebut pun memegang tangan ibunya dan mengikutnya pulang.”

Tujuan Hukum Hadhanah

Hadis di atas juga jelas menunjukkan bahawa kebajikan atau maslahat anak adalah objektif utama dalam hukum hadhanah. Penjaga mestilah pihak yang boleh mencurahkan kasih sayang secukupnya kepada anak ketika anak itu berada dalam jagaannya. Oleh sebab itu, turutan penjaga itu mesti diberikan kepada pihak waris perempuan terlebih dahulu kerana mereka yang lebih penyayang dan belas kasihan.

Hikmah pensyariatan hadhanah adalah untuk mengatur tanggungjawab berkaitan dengan penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang masih kecil.

Ini kerana kemungkinan suami isteri berpisah atau hidup tanpa persefahaman, atau berada dalam kesempitan untuk memberi perhatian dan mendidik anak kecil mereka. Jika keadaan ini dibiarkan, pertikaian mereka tidak akan selesai. Hal ini merupakan satu penganiayaan terhadap kanak-kanak dan mengabaikan kepentingan mereka.

Keadaan ini berkemungkinan menjadi penyebab kehancuran masa depan kanak-kanak itu. Oleh itu, peraturan yang menyeluruh perlu diwujudkan bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga dan mendidik mereka.

Penentuan penjagaan kanak-kanak tersebut hendaklah berdasarkan keutamaan agar kepentingan mereka tidak terjejas sekiranya berlaku pertikaian atau perselisihan di kalangan penjaga mereka.

Hak Hadhanah

Jika berlakunya penceraian pasangan suami isteri yang mempunyai anak lelaki / perempuan dengan usia yang masih kecil seperti bayi, dan semestinya sangat memerlukan asuhan dan kasih sayang, dalam kes ini ibunya lebih berhak terhadap anak tersebut.

Hak untuk penjagaan anak (hadhanah) diberikan kepada ibunya semasa umur anak tersebut masih kecil dan menyusu. Pada usia ini, anak anak belum sampai tahap boleh membezakan baik buruk sesuatu tindakan, apatah lagi memilih untuk tinggal bersama ibu atau bapanya. Dalam keadaan ini, anak tersebut mestilah diberikan kepada ibu untuk diasuh olehnya.

Anak tersebut akan kekal diasuh oleh ibunya sehingga mencapai usianya sudah tidak menyusu, dan boleh berfikir sendiri untuk membezakan tingkah laku ayah atau ibunya. Walaupun anak ini sudah cukup besar, tetapi belum mumaiyiz & masih memerlukan asuhan, pada usia ini anak diberikan pilihan untuk mengikut sama ada ibu atau bapanya.

Urutan Hadhanah / Hak Pengasuhan Anak Dalam Islam.

Siapakah Yang Berkuasa Menentukan Hak Penjagaan Anak di Malaysia?

Apabila berlaku pertelingkahan mengenai hadanah di Malaysia, Mahkamah Syariah adalah badan berwajib yang dipertanggungjawabkan dengan autoriti untuk memutuskan hadanah.

Apakah pertimbangan yang diambil kira oleh Mahkamah Syariah dalam hadhanah?

Perkara yang menjadi pertimbangan utama Mahkamah Syariah ialah:

  • Kebajikan kanak-kanak tersebut.
  • Kemahuan ibu & ayah kanak-kanak.
  • Kemahuan kanak-kanak tersebut jika sudah dalam peringkat usia yang telah mampu memberikan pendapatnya sendiri.

Siapakah yang lebih layak mendapatkan hak penjagaan anak?

Agama Islam telah memberikan garis panduan yang jelas dalam menentukan pihak yang paling layak mendapat hak hadhanah anak selepas berlakunya pembubaran ikatan perkahwinan suami isteri adalah ibu anak-anak tersebut, selagi mana si ibu tersebut belum berkahwin dengan suaminya yang baru.

Mahkamah Syariah akan menetapkan keputusan hadhanah. Namun sekiranya mahkamah mendapati si ibu telah pun hilang kelayakannya menjaga anak tersebut, hak penjagaan ini akan beralih kepada pihak pihak yang disenaraikan di bawah:

  1. Nenek pihak ibu hingga ke atas peringkatnya.
  2. Bapa.
  3. Nenek pihak bapa hingga ke atas peringkatnya.
  4. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  5. Kakak atau adik perempuan seibu.
  6. Kakak atau adik perempuan sebapa.
  7. Anak perempuan dari sebelah kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  8. Anak perempuan dari sebelah kakak atau adik seibu.
  9. Anak perempuan dari sebelah kakak atau adik perempuan sebapa.
  10. Ibu saudara dari sebelah ibu.
  11. Ibu saudara dari sebelah bapa.

Mahkamah akan mengambil kira orang yang diberikan hak penjagaan anak agar tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak tersebut.

Kelayakan Yang Diperlukan Untuk Penjagaan

Seseorang yang mempunyai hak mengasuh seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika:

  • dia adalah seorang Islam 
  • dia adalah sempurna akal;
  • dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
  • dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  • dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Walaupun hak hadhanah telah diberikan kepada sesuatu pihak, hak ini bukan muktamad.

Ada beberapa situasi hak penjagaan anak yang diberikan oleh mahkamah boleh ditarik balik.

Apakah perkara perkara yang menyebabkan hilangnya hak jagaan anak anak?

Bagi memastikan kebajikan anak anak dipelihara, mahkamah akan meneliti kedudukan pihak penjaga semasa hak hadhanah diberikan. Namun begitu, hak ini boleh terbatal sekiranya berlakunya keadaan di bawah.

  • Sekiranya wanita tersebut berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
  • Sekiranya wanita tersebut berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  • Sekiranya wanita tersebut menukar pemastautinannya (berpindah) dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
  • Sekiranya wanita tersebut keluar dari islam / murtad.
  • Sekiranya wanita tersebut mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Berapa lamakah tempoh jagaan hadhanah?

Hak jagaan anak anak bermula sejak anak tersebut lahir sehingga mereka mencapai usia mumaiyiz, iaitu usia anak anak mampu melakukan urusan khusus tanpa bantuan orang lain seperti:

  • Mampu makan dan minum dengan sendiri.
  • Mampu menguruskan diri sendiri ketika ke tandas untuk qadha’ hajat.
  • Menyuci & membersihkan diri sendiri dari kotoran.
  • Mengambil wudhu.


Telah disepakati & di tetapkan bahawa usia mumayyiz kanak kanak apabila sampai usia 7 tahun. Namun ada juga kanak kanak yang sampai usia mumaiyiz pada usia 8 tahun mengikut keadaan kanak-kanak tersebut. Anak anak tidak dikira telah mumaiyiz hanya berdasarkan usianya semata mata.

Ini dapat kita perhatikan daripada, Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melalui Seksyen 84 yang menyebut.

 Hak hadhinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadhinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

 Setelah tamatnya hak hadhinah, jagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Upah hadhanah

Upah hadhanah ialah duit yang diberikan kepada pihak yang diberikan hak hadhanah.

  1. Bagi isteri yang baru diceraikan dan masih dalam tempoh iddah, menerima nafkah dari bekas suaminya, dan pada masa yang sama mengasuh anak anaknya, upah hadhanah tidak layak diberikan kepada isteri tersebut kerana nafkah dan upah hadhanah tidak boleh dihimpunkan pada satu masa.
  2. Sekiranya isteri tersebut bercerai mati, maka upah hadhanah berhak diberikan kepadanya kerana si isteri tidak memperolehi nafkah dari suaminya jika dibandingkan dengan bercerai hidup.
  3. Sekiranya bekas isteri telahpun habis waktu iddah dan sudah tidak menerima nafkah daripada bekas suami, beliau berhak menerima upah Hadhanah untuk tugas yang digalasnya bagi pihak bekas suami atau wali anak anaknya.
  4. Sekiranya anak di asuh oleh selain dari ibunya, pengasuh tersebut layak menerima upah hadhanah dan  bayaran dikira dari hari pertama menjaga anak tersebut. Upah ini berbeza dari nafkah yang diberikan terdapap anak tersebut. Bapa ataupun penjaga anak tersebut wajib melangsaikan bayaran tersebut atau ia dikira sebagai hutang. Melainkan pengasuh tersebut menghalalkannya atau melakukan kerja asuhan itu secara sukarela.

Bagaimana Pula Hak Penjagaan Anak Selepas Mumaiyiz Ditentukan?

Tiba juga kita ke akhir artikel, penting untuk kita fahami hak penjagaan anak / hadhanah ini kekal sehinggalah anak tersebut mumaiyiz.

Hak yang diberikan ini akan terangkat selepas kanak kanak tersebut sudah mampu berfikir dan membezakan baik dan buruk, dan sudah tidak memerlukan asuhan dan jagaan.

Dengan terangkatnya hak hadhanah, dan digantikan oleh hukum kewalian kerana anak tersebut sudah besar dan mumayyiz. Jika pihak yang berkelayakan mengasuh dan mempunyai kewalian ibu dan bapa yang beragama Islam, anak lelaki ataupun perempuan yang sudah sampai umur mumayyiz diberikan pilihan sama ada mahu hidup bersama ibu ataupun ayahnya.

Apa yang dikongsikan ini adalah sekadar pendapat. Lebih baik anda yang mengalami masalah seperti ini boleh dapatkan nasihat dan konsultansi daripada Peguam Syarie terbaik yang lebih pakar sebab kes-kes macam ni agak rumit dan merangkumi undang-undang serta hukum syarak.

Kalau anda nak terus bertanyakan soalan pertanyaan, boleh terus telefon/ Whatsapp:

Hafizah Haron & Associates

No 30-2 , Jalan Selasih K/U 12/K, Cahaya Alam 40170 Shah Alam, Selangor

+6018-9827717

Website:

https://www.guamansyarie.com/

Puan Nor Hafizah Di siaran Langsung SPM

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

2 thoughts on “Hak Hadhanah Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *