April 24, 2024

Tak Rugi Baca: Sebab Dr Maszlee Malik Letak Jawatan.

Aku bukanlah gemar berbicara tentang politik. Pada aku, susah nak jumpa hal “politik” yang betul-betul bersih. Jadi aku stay away. Lagi pun, hidup aku, kerjaya aku tak berkaitan dengan politik. BriM segala bagai pun tak dapat. Aku hanya sekadar ambil tahu dari luaran dan kejauhan sahaja. hehe.

Semalam, rakyat Malaysia terutama warga pendidik terkejut dan menangis apabila mendapat tahu Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr Maszlee Malik meletak jawatan. Aku pun terkejut. Ye la, sedang sibuk warga pendidik menguruskan hal kemasukan anak-anak ke sesi baru persekolahan, tetiba mendapat perkhabaran yang tak best ini.

Sebab apa YB Dr Maszlee Malik letak jawatan?

Inilah jadinya, bila sistem pendidikan dicampur aduk dengan politik.

Jadi bila ada yang bertanya kenapa tetiba Dr Maszlee letak jawatan?, logiknya ini jawapan paling mudah.

Sebab dia ada maruah dan tak gila jawatan tambahan pula Orang beri tekanan dari semua sudut pada Dr Maszlee, Media jadikan dia sasaran mungkin kerana dia berpemikiran Islamik, Org politik pula tak mau backup dia kerana mata merah melihat dia naik terus mendapat jawatan menteri kanan, DAP pula serang dia bertubi-tubi sedangkan dia telah cuba yang terbaik demi memartabatkan Sistem Pendidikan Malaysia.

Noktah.

Ini jawapan oleh Zamri Vinoth. Aku copy bulat-bulat sebab aku 100% dengan jawapan beliau.

letak jawatan

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik Letak Jawatan 3 Januari 2020.

Teks Sidang Media Perletakan Jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.

Assalamualaikum, Selamat Sejahtera dan Salam Tahun Baru 2020.

Terima kasih kepada semua yang hadir terutamanya pihak media dan warga keluarga KPM.

Ketika saya masuk ke bangunan ini sebagai Menteri Pendidikan hampir 20 bulan yang lalu, saya sering membayangkan betapa beratnya tanggungjawab memegang 2 kementerian strategik di negara ini.

Dari hari pertama, saya membayangkan kontroversi demi kontroversi.

Namun, semenjak tahun 2018, KPM telah bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan. KPM telah menjadi kementerian pertama yang membentangkan laporan 100 hari Pakatan Harapan, kemudiannya kad laporan prestasi setahun (Jun 2018 – Jun 2019) dan kad laporan untuk tahun 2019. Trend ini telah diikuti oleh kementerian- kementerian yang lain.

Tahun 2019 kemudiannya membuktikan beberapa inisiatif yang kita perkenalkan akhirnya membuahkan hasil. Hampir 90% projek sekolah daif yang kita usahakan, siap lebih awal. Kita paparkan progres sekolah daif ini di laman web. Tidak pernah sebelum ini projek kerajaan begitu transparen dan boleh diakses oleh orang awam. 

Dasar inklusif yang kita perkenalkan untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK), warga B40, anak-anak tiada dokumen serta polisi sifar cicir semuanya memberikan makna baharu kepada ratusan ribu anak murid di seluruh negara. Yang mana sebahagian mereka, berada dalam keadaan bahaya kerana tidak berada di sekolah.

Inisiatif lain, yang sebahagian besar adalah untuk mengurangkan beban guru dan seterusnya memberi semula semangat baharu kepada warga sekolah, gerakan Malaysia Membaca serta bacaan semula AUKU di Parlimen juga adalah bukti komitmen Pakatan Harapan melakukan reformasi pendidikan.

Kita juga mahu meletakkan semula peningkatan kualiti sebagai asas utama pendidikan. Kita harus faham kualiti pendidikan tidak boleh diperbaharui semalaman. Terdapat banyak isu sistemik yang kompleks.

Salah satu daripadanya ialah korupsi. Umum mengetahui, banyak pihak yang mendapat kontrak melalui kabel-kabel tertentu sebelum ini, dan KPM bekerja keras untuk membanteras amalan ini. KPM bahkan membawa masuk Tan Sri Ambrin Buang dan jawatankuasanya untuk memastikan terdapatnya semak imbang, dan menunjukkan kepada umum betapa serius KPM terhadap isu ini.

Perancangan KPM untuk tahun 2020 lebih besar daripada semua pencapaian 2019 ini. Dengan sebahagian daripada halangan-halangan sistemik ini telah berjaya kita selesaikan, kita akan mampu melaksanakan reformasi sistem yang lebih besar. 

Misalnya, pendidikan digital hanya dapat dilaksanakan jika semua sekolah mempunyai sistem internet yang pantas dan stabil. Sebelum ini terdapatnya monopoli dan para guru langsung tidak menggunakan platform tersebut kerana ia terlalu perlahan dan mereka tidak mempunyai pilihan.

KPM memastikan sistem ini dibuka agar sekolah dapat memilih apakah pembekal internet yang terbaik serta platform yang lebih sesuai untuk anak-anak mereka. Hanya setelah ini, kita boleh fokus kepada IR 4.0 dan pendidikan STEM di sekolah.

Selain pelan digital pendidikan, perancangan tahun 2020 KPM juga adalah untuk meningkatkan kualiti sekolah dan universiti dengan memfokuskan guru, pensyarah, pentadbir dan penggubal dasar.

Untuk guru, inilah sebabnya mengapa KPM bekerja keras mengurangkan beban kerja yang tidak relevan agar seterusnya kita dapat meningkatkan pedagogi. Malah Akta Pendidikan juga akan disemak semula untuk membolehkan anak-anak kita diwajibkan menghabiskan sekolah menengah.

Untuk universiti pula, kita akan memastikan mereka dapat bersaing lebih kompetetif di peringkat dunia. Universiti kita perlu belajar daripada universiti terbaik di dunia.

Kerangka kebolehpasaran akan dilancarkan, yang mana lebih banyak program yang relevan dan hubungan industri yang lebih kuat akan menjadi keutamaan.

Bacaan semula AUKU akan memberi lebih autonomi kepada universiti dan kebebasan akademik untuk meningkat kualiti. Ini termasuk semua pembaharuan dalam program TVET kita sehingga kebolehpasaran graduan TVET meningkat kepada 96.5%.

Walaubagaimanapun, sebagaimana yang selalu saya tekankan dengan pegawai saya sebelum ini, kita semua harus merubah diri kita dahulu sebelum mengubah sekolah dan universiti.

KPM harus bergerak menjadi lebih efektif dan proaktif. Setiap program harus berorientasikan ‘outcome based’. Ketika saya mengemudi KPM, saya selalu mengalu-alukan ‘public private pertnership’ kerana saya tahu, kita tidak dapat melaksanakan reformasi sistem ini berseorangan. Sekolah milik komuniti, universiti milik masyarakat. 

Kejayaan sistem pendidikan adalah bermakna kejayaan masyarakat. Pendidikan adalah tanggungjawab semua.

Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

Walaubagaimanapun saya percaya saya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM. Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam 3 kalimah keramat, ‘Pendidikan Untuk Semua’.

Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu. Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama.

Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada YAB Tun Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi KPM. Ia adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia.

Saya juga ingin menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada beliau dan parti saya, PPBM.

Di atas nasihat YAB Perdana Menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang redha walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, berkuatkuasa 3 Januari 2020.

Dr Maszlee Malik
2 Januari 2020

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

One thought on “Tak Rugi Baca: Sebab Dr Maszlee Malik Letak Jawatan.

  1. saya setuju bab politik dan nih, saya pun tak suka cerita bab politik dalam blog saya atau media social saya yg lain. Sebab kalau kita terlalu bercerita berfikir pasal politik, otak kita pun akan jadi macam orang politik, sikit-sikit nak komplen itu salah ini salah saya tak suka.

    saya pun sangat terperanjat dengan keputusan dr maszlee ini, selama ini saya nampak usaha dia yang gigih untuk memartabatkan sistem pendidikan malaysia. Mungkin bagi saya dia antara menteri yang betul betul berusaha menjalankan tanggungjawab nya sebagai menteri pendidikan di bandingkan ramai lagi menteri-menteri lain. Saya sedih la kenyataan yang di sarankan untuk berhenti… sedih dengan keadaan politik negara kita.

Leave a Reply to Siti Norhidanah Mohd Miswan Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *