December 7, 2024

Buat 5 Tips Ini Sepanjang Ramadan. Duit Berkepuk Menjelang Hari Raya

Ikut logik akal, sepanjang bulan puasa, perbelanjaan kita semakin berkurangan. Pengurangan belanja ini disebabkan tiada perbelanjaan untuk sarapan pagi dan makan tengah hari. Namun, tidak ramai yang berjaya mengurangkan belanja di bulan Ramadan. Setuju?

Malah, perbelanjaan makin berlebihan kerana terlalu mengikut nafus membeli. Tidak kiralah ketika di bazar Ramadan membeli juadah berbuka mahupun ketika di Kompleks PKNS mencari pakaian raya.

Di sini, aku ingin berkongsi tips yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadan. Kalau kau orang berjaya amalkan, pasti lebihan duit boleh digunakan untuk perbelanjaan penting di Hari Raya.

1# Bersahur Di Rumah

Salah satu cara berjimat pada bulan Ramadan ialah dengan bersahur di rumah. Tak perlulah keluar ke kedai untuk makan pagi. Lagi pun waktunya singkat. Kemungkinan anda terlewat bangun sahur juga tinggi.

Jika malas memasak, simpan sedikit makanan waktu berbuka atau siapkan makanan super food seperti overnight oat dan kurma yang boleh memberikan tenaga untuk jangka masa panjang. Ramadan kali ini, apa kata tukar gaya bersahur anda kepada makanan yang lebih sihat. Kau orang lebih bertenaga dan duit pun lebih jimat.

2# Kawal Nafsu Di Bazar Ramadan

Waktu berbuka waktu paling mencabar untuk berjimat duit terutama bila kau berada di bazar Ramadan. Nafsu makan ketika berpuasa amat tercabar dengan makanan-makanan yang terdapat di bazar Ramadan. Bayangkan, sudah lebih dari separuh hari tak makan dan minum, kemudian singgah ke bazar dan nampak air buah-buahan, murtabak, ikan bakar, ayam golek, kuih muih. Hati mana yang tidak bergelojak melihat makanan-makanan seperti ini.

Mungkin sukar untuk bersabar, tetapi percayalah jika kau orang mampu bertahan, banyak yang boleh berjimat. Cadangan aku, jangan pergi ke bazar beramai-ramai. Mengapa? Kerana kau orang mudah terpengaruh dengan apa yang rakan kau orang beli dan ingin mencubanya.

Satu lagi mungkin kau orang boleh hadkan duit yang akan dibawa ke bazaar Ramadan. Kau orang pasti lebih berkira-kira dalam membeli juadah jika anda ada RM15 sahaja untuk digunakan. Betul tak? Ia dapat mengelakkan pembaziran makanan sekaligus tidak terbanyak berbelanja untuk berbuka.

3# Beli Pakej Buffet Ramadan

Siapa tidak suka dapat berbuka di restoran atau hotel yang menghidangkan lauk-pauk gaya buffet. Berbuka di hotel atau restoran tidak salah, malah lebih meriah. Tetapi, bagaimana nak berjimat jika berbuka dengan buffet? Jika kau orang boleh makan dengan banyak dalam satu masa, silakan. Konfem taklah kan!

Jika tidak, simpan duit dan berbukalah di rumah. Matlamat berpuasa bukan untuk mengganti lapar dan dahaga yang dialami di siang hari. Lagi pun kita tidak mampu untuk menghabiskan makanan yang banyak jika mengambil hidangan buffet. Tidak salah bermewah sedikit untuk diri sendiri, cuma carilah buffet yang harganya tidak melampau sehingga membazir.

4# Ambil Peluang Berhenti Merokok

Ya, ini adalah tip berjimat paling menakutkan buat para perokok. Apa kata berhenti merokok. Selain membahayakan kesihatan, kau orang juga kini tidak bebas merokok sesuka hati di tempat awam. Anggaplah ia satu inisiatif yang boleh membantu usaha untuk berhenti merokok.

Kepada para perokok, ambilah peluang di bulan suci ini. Tiba Syawal, nanti, saksikan berapa banyak wang yang dapat kau orang jimat hasil dari berhenti menghisap rokok.

5# Bijak Berbelanja Persiapan Syawal.

Menjelang Syawal, ramai yang akan sibuk untuk membeli persiapan Hari Raya. Sofa baru, langsir baru, kasut baru, baju raya, sampin, songkok dan macam-macam lagi semunya pasti baru. Memanglah elok Hari Raya disambut dengan berpakaian baru, tetapi jangan pula membazir. Baju baru tidak bermakna perlu yang harga beribu-ribu. Perabot yang masih elok pula, jangan dibuang.

Apa kata tahun ini jadikan sambutan Hari Raya kau orang lebih meriah dengan melawat saudara-mara dan sahabat handai. Jika kita tidak berjimat pada bulan puasa, bagaimana hendak berbelanja untuk Hari Raya? Apa pun, ingat tip-tip ini dan cuba amalkan.

Selamat menyambut Ramadan buat semua!

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

One thought on “Buat 5 Tips Ini Sepanjang Ramadan. Duit Berkepuk Menjelang Hari Raya

  1. Setuju dgn tips hadkan duit yang dibawa ke pasar ramadan. Kalau hati meronta nak beli, tapi duit dah yillek, nak beli mcm mana pun, dah tak boleh. Displin secara auto. Betul sgt dah ni

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *