Sijil kelahiran, atau lebih dikenali sebagai surat beranak, merupakan dokumen penting yang mengesahkan kelahiran seseorang secara rasmi.
Di Malaysia, sijil kelahiran telah melalui beberapa versi sebelum beralih kepada versi berkomputer. Sebagai contoh, sebelum tahun 1997, dokumen ini lazimnya dikeluarkan di balai polis dan masih ditulis secara manual.
Masihkah anda menyimpan versi lama tersebut? Tahukah anda bahawa sijil kelahiran jenis itu tidak lagi sah digunakan untuk sebarang urusan rasmi dan perlu digantikan dengan versi baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?

Pengguna Facebook Mendra Edin yang berkongsi pengalaman sendiri ketika berurusan di sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) baru-baru ini.
“Sijil kelahiran kamu masih yang lama, yang tulisan tangan atau cetakan dan sijil kertas yang kecil?
“Harus diperbaharui! Sijil kelahiran yang lama sudah tidak boleh pakai ya dan harus diperbaharui untuk urusan rasmi.
“Ceritanya begini, saya fotostat sijil kelahiran yang lama dan bawa ke UTC untuk pengesahan (ada urusan penting) namun setibanya di sana mereka kata sijil kelahiran saya harus diperbaharui terlebih dahulu kerana sijil kelahiran saya ni sudah lama dan tulisan tangan.
“Saya diminta ke JPN terus untuk perbaharui sijil lahir,” kongsinya.
Sementara itu, Mendra memaklumkan bahawa proses pembaharuan sijil kelahiran tersebut hanya dikenakan bayaran sebanyak RM5.
“Bagi anda yang masih belum menukar sijil kelahiran jenis tulisan tangan, bolehlah membuat pembaharuan sekarang. Mungkin suatu hari nanti anda memerlukannya untuk urusan penting.
“Bayaran sebanyak RM5 akan dikenakan bagi setiap pembaharuan sijil kelahiran, dan anda perlu menyediakan satu salinan MyKad,” katanya.
Mendra turut menjelaskan bahawa bagi individu yang dilahirkan di Semenanjung Malaysia, penukaran boleh dilakukan di UTC atau mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Semenanjung. Sementara itu, bagi mereka yang dilahirkan di Sabah dan Sarawak, proses pembaharuan juga boleh dibuat terus di mana-mana cawangan JPN di Semenanjung.
Sumber: Facebook Mendra Edin
