June 20, 2021

12 Cara Didik Anak. Perkongsian Oleh Pakar Motivasi

Setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak. Tiada istilah “cara kau salah, cara aku betul” . Kerana setiap anak mempunyai peel dan sifat yang berbeza.

Begitu juga perkongsian oleh pakar motivasi Dr. Hj. Tengku Asmadi tentang cara beliau mendidik anak sehingga berjaya. Apa yang dikongsikan adalah cara beliau dan tidak semestinya berhasil apabila ditiru oleh ibu bapa lain.

Namun, tidak salah jika ibu bapa lain ingin membaca dan memahami cara Dr. Hj. Tengku Asmadi mendidik anak. Perkongsian beliau agak panjang tetapi kami berjaya membacanya sehingga habis. Dari situ, kami ambil beberapa isi penting untuk dikongsikan di sini. Ini adalah cara beliau, beliau juga tidak menyatakan ini adalah cara yang terbaik dalam mendidik anak. Tidak juga menyatakan ini sahaja cara yang ada.

Kami kongsikan di sini untuk bacaan dan tatapan sahabat pembaca:

Rule No.1 untuk mendidik anak ialah ianya satu pelaburan yang memerlukan modal yang besar. Jangan kedekut dengan anak-anak. Kalau kedekut, anda mungkin terbatas untuk meneruskan cara mendidik anak dengan lebih sempurna. Tiada duit bukanlah alasan sebenar bagi seorang bapa atau ibu.

Lihat sahaja bangsa lain yang sanggup berhabis puluhan ribu untuk pendidikan anak-anak sejak awal. Jangan jadikan ‘duit’ sebagai alasan. Kena berusaha cari duit lebih. Kena juga berbisnes secara online atau offline untuk tambah pendapatan. Kerana untuk anak hadir kelas tuisyen, beli buku-buku, hadir kem motivasi, aplikasi pembelajaran online, pemakanan tambahan yang baik dan lain-lain yang diperlukan, semuanya perlukan DUIT.

Paling penting, perkembangan anak biarlah seimbang dari segi perkembangan fizikal, akal, jiwa dan rohani.

Happy family with several members in education process

1# Anak Perlu Rasai Kasih Sayang Ibu Bapa

Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak. Persoalannya, adakah anak tahu dan anak dapat rasakan kasih sayang ibu bapa itu?

Tahukah ibu bapa sekalian, anak akan mula mencipta pelbagai masalah apabila mereka tidak merasai kasih sayang ibu bapa dan mereka mahukan perhatian kita.

Anak-anak yang kurang kasih sayang akan menunjukkan dua perwatakan atau wajah berbeza.  Di rumah lain dan di sekolah pula lain.  Ini menjadi sebab, ada kalanya ibu bapa tidak boleh terima apabila guru-guru komplen dan melaporkan bahawa anak mereka bermasalah.  Pada mereka anaknya itu baik, dengar cakap dan ikut arahan seperti mana yang mereka tonjolkan di rumah!

Tahukah ibu bapa, kajian menunjukkan bahawa ibu bapa hanya berkomunikasi kurang daripada 10 minit sahaja sehari dengan anak-anak kita?  Ya, betul. 10 minit sahaja komunikasi yang bernilai .  Sebab yang dikatakan komunikasi berkesan itu ialah wujudnya suasana saling mendengar dan saling memahami.  

Malangnya, apabila kita berkomnikasi dengan anak-anak di rumah, sebalinya yang berlaku. Ibu bapa selalu membebel, mengkritik, menasihat, mengarah, mengugut, mengancam, menyindir, menengking, menjerit dan banyak lagi sikap yang tidak diharapkan oleh anak-anak.

Mana kemahiran mendengar ibu bapa yang lebih matang secara aktif kita? Kita lebih fokus pada diri dan masalah harian kita seperti masalah di rumah atau tempat kerja. Kita hilang fokus pada anak.  

Anak-anak hanya dapat rasakan kasih sayang apabila ibu bapa benar-benar berikan masa dan perhatian kepada mereka.  

Sebab itulah apabila ada program atau aktiviti yang ibu bapa perlu hadir, jangan suruh ibu sahaja yang pergi.  Bapa pula tunggu sahaja dalam kereta.  Kedua-dua ibu dan bapa MESTI hadir dan berikan anak sokongan moral.  Kecuali ibu atau bapa tunggal.  Anak-anak mereka ini maklum dan faham.  

Kongsi Tengku Asmadi lagi, apabila ada sahaja aktiviti anak seperti Hari Sukan, Mesyuarat Agung PIBG, perjumpaan guru dan ibu bapa, Hari Anugerah dan pelbagai aktiviti lagi, beliau pasti usahakan untuk hadir bersama isteri.  Dalam sibuk pun beliau usahakan untuk cari dan curi masa.  Kecuali terpaksa kerana tugas.

Di samping itu, banyakkan masa di rumah bersama anak-anak.  Apabila tiada sebarang program, adalah lebih baik duduk rumah dan bermain dengan anak-anak.  Keluar makan bersama, solat bersama dan berhibur bersama.

2# Perlu Ada Ketegasan Dalam Mendidik

Anak-anak masih mentah dan mereka tidak tahu sangat apa yang baik dan apa yang buruk untuk masa depan mereka.  Kalau dibiarkan sahaja, mereka akan habiskan masa dengan berseronok, berkawan, berdamping dengan gajet serta telefon bimbit.


Anak bukan kita. Mereka tidak risaukan tentang bil atau nak cari duit. Makan, minum, pakaian dan duit belanja semua mak ayah dah sediakan.  Buka mata sahaja, makanan dah terhidang atas meja.  

Jadi, sebagai ibu bapa, perlu ketegasan dalam mendidik.  Jangan 100% ikut sangat keinginan dan kehendak anak.  Perlu berpada-pada.  Orang tua kata kena wasatiah / bersederhana dalam mendidik anak .  Mungkin kita boleh lembut, ada masa kita tegas.  Sentiasa pandai bahagiakan masa yang betul; lembut & tegas.

Nabi Muhammad SAW ada berpesan, apabila anak masuk usia 7 tahun ajarkan mereka solat.  Apabila usia anak 10 tahun, rotan jika anak tidak menunaikan solat. 

Apa yang Nabi SAW nyatakan itu ialah, ketika usia anak-anak dari dalam kandungan hingga 9 tahun, didik mereka dengan penuh mesra dan gurauan.  Ibu bapa janganlah serius atau garang sangat.  Namun bila usia mereka menjangkau 10 tahun, masa itulah ibu bapa perlu serius dan tegas.  Terutamanya dalam perkara yang melibatkan akidah, ibadah dan sahsiah.  

Ada waktu, ibu bapa memang perlu garang dan tegas.  Jika perlu tinggi suara, tak salah pun untuk bapa meninggikan suara. Semoleknya janganlah setiap hari begitu.  Apabila perlu sahaja.  Lagi molek, biarkan ibu sahaja yang bising.  Bapa dok diam sahaja.  Tetapi sesekali bapa mesti main peranan.  Apabila bapa yang bersuara, maknanya ia sudah sampai ke tahap serius. Anak-anak perlu faham situasa begini.

Mendidik anak perlu banyak bersabar. Lumrah ihdup, terutama anak-anak yang dalam fasa membesar, memang menguji kesabaran kita.   

Ada doa yang Tengku Asmadi kongsi untuk dijadikan amalan dalam mendidik anak-anak iaitu Doa Nabi Ibrahim a.s.:

Robbi Habli Minassolihin  (Surah Ash-Shaffaat Ayat 100)
Ya Tuhan, kurniakanlah kepada ku anak yang tergolong dari orang-orang yang soleh.

Mudah dan pendek sahaja.  Mari kita sama-sama amalkan.  Masukkan doa itu dalam doa ibu bapa setiap kali lepas solat.

Ramai anak muda yang rosak sebab ibu bapanya sentiasa lepas tangan dalam hal mendidik.  Malah ramai juga bapa yang lepaskan tanggung jawab mendidik hanya kepada ibu.  Tidak boleh begitu.  Mendidik anak perlukan dua-dua terlibat iaitu ibu dan bapa.

3# Ibu Bapa Perlu Bagi Contoh Terlebih Dahulu

Pernah dengan pepatah ” Ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus” ?.  Kalau mahu anak menjaga masa, ibu bapa perlu terlebih dahulu menepati masa.  Kalau mahu anak pegang pada janji, jangan pernah memungkiri janji kita pada mereka.  Kalau mahu anak solat, kita solat bersama mereka.  Kalau mahu anak rajin belajar, kita kena tingkatkan budaya membaca dan mencari ilmu dalam keluarga. Kalau tak mahu anak berbohong, jangan pernah menipu mereka.

Pendek kata, ibu sebagai contoh kepada anak-anak .  Apa jua perlakuan kitta, akan menjadi contoh kepada mereka.

Cara fikir kita, prinsip hidup, kepercayaan, cara bercakap, cara kita respon terhadap persekitaran, semuanya dilihat dan didengar oleh anak-anak kita.  Mereka lihat, perhati dan mereka ikut satu persatu.

Ada sesetengah ibu bapa, tanpa sengaja terlepas kata-kata negatif yang boleh mempengaruhi minda anak.

Kekadang kita terlupa, kata-kata tersebut mampu membentuk cara fikir dan seterusnya tingkah laku anak kita.  Oleh itu ibu bapa perlu sentiasa ALERT dan peka. 

4# Yakin Dan Jangka Anak Akan Cemerlang!

Ibu bapa selalu mengharapakan anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Umum ketahui keputusan cemerlang semua A’s bukanlah jaminan masa depan yang cemerlang.  Sebab ada anak yang mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi dan berjaya kebolehan mereka itu.  Setiap anak tidak sama.

Tetapi jika anak kita mampu dan berkebolehan dalam pelajaran, pastinya kita mahu dia buat yang terbaik, usaha bersungguh-sungguh dan capai keputusan yang terbaik. 

Dengan anak, kita kena tunjukkan yang kita yakin dia boleh cemerlang dalam pelajarannya.  Kita juga mesti yakin yang dia boleh menang apabila dia menyertai apa juga program dan pertandingan.  

Tunjukkan yang kita pasti, tanpa ragu, satu hari dan satu masa anak kita boleh berjaya dalam pelajarannya.

Keyakinan dan kepercayaan kita itu adalah booster bagi diri anak-anak.  Malah sebab yakinlah maka kita belikan dia pelbagai buku tambahan, masukkan dia ke kelas tuisyen  jika dia memerlukan bantuan, hantar dia ke program motivasi untuk tingkatkan keyakinan dirinya dan pelbagai lagi.  Kita sanggup berkorban sebab kita tahu anak kita ada potensi.  Dalam minda kita, 5 tahun dari sekarang anak ini pasti berjaya.

Apabila mindset kita terarah dengan menjangkakan anak boleh berjaya, maka fokus kita akan tertumpu kepada kelebihan dan kebolehannya dan bukannya kepada kelemahan dan kekurangannya.  

Setiap kali kita tengok anak kita, dan mahu berkata sesuatu padanya, pastikan kita tengok dengan mata lebah bukan dengan mata lalat.  Iaitu tengok dan cari apa kebaikan yang dia lakukan, apa yang boleh dipuji, apa yang boleh kita bangga, apa yang betul.  Lebihkan mencari kebaikan bukannya keburukan. 

Kalau anak melakukan kesalahan, jangan hanya sekadar memarahi mereka. Marah mereka dengan teguran yang membina. Didik mereka cara yang sebenar supaya mereka tidak melakukan kesalahan yang sama.

Apabila kita marah secara jamak, kita bunuh sifat ingin tahunya.  Sedangkan, dalam belajar, sifat ingin tahu inilah yang membuatkan dia rajin ‘explore’ dan belajar sendiri.

​Pendek kata, dalam menegur atau memarahi anak, asingkan apa yang betul dan apa yang salah.  Jangan terus marah hinggakan anak jadi keliru.

5# Latih Anak Untuk Fokus. Catat Apa Yang Tak Difahami

Nak anak pandai? Kena pesan pada anak dan ajar anak supaya Sentiasa Fokus Dalam Kelas.  Setiap kali apabila keputusan peperiksaan diumumkan, Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan akan memaklumkan bahawa antara rahsia belajarnya dan cemerlang ialah Tumpuan Dalam Kelas!

Hakikatnya, ramai anak-anak kita gagal dalam akademik sebab tidak fokus dalam kelas, guru mengajar mereka main-main, kacau kawan, asyik sembang dan buat kerja lain.  Malah ada yang tidur.

Apabila anak tidak faham apa yang cikgu ajar, dia tidak boleh siapkan kerja sekolah.  Apa bila tidak faham dan kerja sekolah tak siap, markahnya merosot malah ada yang gagal.  Apabila gagal, mak ayah terpaksa hantar ke kelas tuisyen, pada hal jika dia fokus mak ayah dah boleh jimat duit dan tidak perlu pun kelas tuisyen.  Hanya mungkin pilih satu dua subjek yang betul-betul perlu sahaja untuk tuisyen.  Tidak perlu semua.  

Ibu bapa perlu sering berpesan pada anak-anak, apabila belajar, apa sahaja perkara yang tidak faham atau kurang jelas maka Buat Catatan.   Nak tanya cikgu boleh tanya kemudian tetapi catat dulu.  Itu wajib.  Sebab kalau tidak mencatat, esok lusa dah lupa.  

Apabila lupa bukan bermakna masalah dah selesai.  Nanti satu hari, apabila belajar semula bab itu, anak pun tidak ingat apa yang dia tidak faham tu.  Kesannya, perkara yang tidak faham tidak diperbetulkan.

Akhirnya anak akan kata, susah lah Matematik ni… susahlah Sains ni .. susahlah Bahasa Inggeris ni.  Sedangkan apa yang dia tak faham, dia tak pernah catat dan selesaikan.

Ingat pesan ini, ajar anak untuk CATATKAN semua perkara yang dia tidak faham dan tidak jelas. 

Walau pun nampak mudah.  Tetap kena Catat.. Catat.. Catat!!

6# Perhatikan Anak-anak Siapkan Kerja Sekolah

Nak anak dapat Nombor Satu?  Maka utamakan apa yang utama.   Siapkan kerja sekolah.  Jangan merungut kalau cikgu banyak berikan kerja sekolah sebab itu untuk memperkukuhkan kefahaman anak kita juga.

Malah bukan setakat siapkan kerja sekolah, galakkan anak-anak untuk cari soalan-soalan dalam buku-buku tambahan dan perbanyakkan lagi menjawab soalan.

​Satu tabiat yang bagus ialah galakkan anak membaca dahulu topik-topik yang belum diajarkan oleh guru sebelum masuk kelas.  Tidak faham tidak mengapa.  Baca sahaja dulu dan faham sedikit pun dah ok.

Dalam bab menyiapkan kerja sekolah ini ibu bapa kena bertegas.  

  • Semak buku dan beg anak
  • Balik sahaja sekolah, terus keluarkan buku-buku yang ada kerja sekolah dan letakkan atas meja belajar.
  • Tetapkan masa untuk mereka siapkan kerja sekolah.  
  • Buatkan jadual belajar.
  • Disiplinkan mereka hingga jadi satu tabiat.
  • Selagi kerja sekolah tak siap, perkara lain tak boleh buat.  Jangan harap nak hadap TV, pegang telefon, bermain komputer games jika kerja sekolah tak siap.
  • Biar kita yang kawal anak, bukan anak yang kawal kita.

7# Sentiasa Berkata Positif

Bunyinya macam senang kan?  Tetapi sedarkah ibu bapa, 70% hingga 80% percakapan kita dengan anak-anak adalah negatif bukan positif.

Bandingkan dua orang ibu di bawah ini.  Masalah yang sama tetapi cara percakapannya berbeza.

IBU A:
“Abang, kan mak dah cakap baju kotor ni jangan dicampak dan digantung merata-rata.
Ni siapa yang makan ni? Dah makan tinggal jer atas meja macam rumah ni ada bibik.
Kenapa tak tutup TV tu? Siapa yang nak tengok? Membazir elektrik jer.
Haa.. dah pukul berapa dah ni?  Berapa kali mak nak bising, solat tu jangan lewat.  Ni dah nak masuk Asar baru nak solat.  Nak jadi apa ni? Jadi hantu?”

IBU B:
“Abang, kan mak selalu pesan, baju kotor masukkan dalam bakul.  Masukkan dalam apa? Haaa.. bakul.  Ni siapa yang makan ni? Bila dah makan hantar pinggan ke sinki dan terus basuh.  Ni TV ni, setiap kali lepas tengok, tutup TV, jimatkan elektrik.  Haaa… ni dah pukul  4 petang, dah lewat dah ni, pergi ambil wuduk dan solat sekarang.  Kan mak selalu pesan, solat mestilah di awal waktu, orang azan ker terus solat, barulah Allah sayang, Nabi sayang.”

Lihat perbezaannya?  Hasrat yang sama tetapi cara bercakapnya berbeza.  Apabila bertahun-tahun membesar dengan dua cara didikan ibu-ibu ini, anak-anak Ibu A akan membesar dalam suasana yang negatif sebaliknya anak-anak Ibu B akan membesar dalam suasana yang positif.  Kesannya dapat dilihat setelah bertahun, bukan sekarang.

Sebab itulah apabila berkomunikasi dengan anak-anak latih diri untuk bercakap secara positif.

Caranya, fokus kepada:

  • Apa yang kita mahu anak dilakukan.
  • Kebaikan bukan keburukan.
  • Kekuatan bukan kelemahan.
  • Kelebihan bukan kekurangan.

Disamping itu ajar anak supaya ada Kata-kata Positif yang menjadi pegangan atau falsafah hidupnya.
Contoh kata-kata positif yang boleh anak gunakan ialah:

  • Kalau orang lain boleh, aku pun boleh.
  • Setiap yang berusaha, pasti berjaya.
  • Aku buat aku dapat.
  • Buat sehabis daya, usaha sehabis cara.
  • I will do whatever it takes!

​Suruh anak bercakap depan cermin.  Bercakap depan cermin setiap pagi adalah cara untuk memprogram minda secara positif.  Syaratnya, kena sebut nama sendiri dan gunakan ayat-ayat positif.

Contoh:
    Imran, you are the best!
    Imran, you can do it!
    Imran, fokus dalam kelas, fokus.. fokus..
    Imran, jaga solat 5 waktu.
    Imran, jaga mulut, jaga akhlak, jadi orang baik.

8# Luang Masa Dengar Cerita Anak

Anak-anak apabila balik sekolah suka bercerita.  Cerita pasal belajar, cikgu dan kawan-kawannya.  Berikan mereka peluang bercerita.  Dengar dengan penuh minat.  Sambil mendengar sambil bertanya.  Belajar jadi Pendengar Aktif bukannya pasif.  Jadi pendengar yang baik kepada anak-anak.

Ini menunjukkan yang kita ambil berat dan prihatin akan perkembangan anak.  Apabila anak tunjukkan hasilkerjanya, puji.  Puji dengan ikhlas.  Peluk anak tanda anda bangga dengan apa yang dia telah lakukan.  Meskipun apa yang dibuat itu tidak besar mana, hargailah.

Anak-anak perlukan semua ini daripada ibu bapanya.  Jangan jadi ibu bapa yang kayu atau tunggul.  Apabila anak bercerita, kita mendengar macam orang tiada perasaan, atau kita asyik fokus pada perkara lain, baca whatsapp ketika anak sedang rancak bercerita.  Berikanlah beberapa minit masa untuk mendengar.  Percayalah, masa yang sedikit itu besar impaknya pada anak.

Ketika mendengar, beri respon pada anak.  Ulang apa yang anak cakap.  Anggukkan kepala.  Tanya soalan-soalan yang membuatkan anak berfikir (Power Questioning).

Selami perasaan anak.  Jika dia sedang sedih maka cakap pada dia yang kita tahu dia bersedih.  Kalau dia sedang marah, cakap pada dia kalau berlaku pada kita juga kita akan rasa marah.  Ini membuatkan anak percaya kita.  

Apabila dia percaya pada kita mudah untuk kita beri nasihat.  Mudah untuk kita lentur.  Mudah untuk kita minta dia lakukan apa yang sepatutnya dia lakukan.

9# Pemakanan Yang Baik

Jangan lupa sarapan

Ramai anak-anak yang pergi sekolah dengan perut kosong.  Paksalah anak ambil sarapan.  Biar pun dengan sekeping roti.

Apabila anak tidak ambil sarapan, dia akan keletihan semasa belajar dalam kelas.  Malah ada yang tumbang waktu berdiri dalam perhimpunan.  Apabila badan lemah, otak pun tidak cergas.  Tumpuan juga terganggu.

​Jadi pastikan anak bersarapan sebelum ke sekolah.


Satu lagi bekalkan anak dengan air kosong.  Air yang cukup perlu untuk otak yang cerdas.  Sebab otak memerlukan air dan oksigen yang cukup untuk berfungsi dengan baik

Pemakanan Tambahan

Ibu bapa boleh habiskan duit berbelanja untuk Mc Donald dan KFC tetapi tidak boleh keluarkan jumlah yang sama untuk ‘Supplement’.

10# Latihan Output Learning

Jika kita mahu anak cemerlang dalam akademik, mereka perlu perbanyakkan pembelajaran ‘Output’.  Output bermakna mereka belajar mengeluarkan semula maklumat-maklumat yang telah dipelajari.  

Selama ini, anak-anak kita hanya fokus kepada input lebih daripada output.  Berikut adalah antara proses input:

  • Membaca buku.
  • Belajar dalam kelas.
  • Mendengar.
  • Berbincang.
  • Bertanya.

Sedangkan apabila anak duduk dalam peperiksaan, yang diuji adalah output.  Iaitu kebolehan anak mengeluarkan semula apa yang telah dipelajari.  Malah dengan adanya soalah-soalan berbentuk KBAT, anak-anak bukan setakat mengeluarkan sahaja, tetapi mesti mampu mentafsir, meramal, mengaitkan, menganalisa, menilai dan pelbagai lagi.

Jadi, kalau nak anak-anak kita cemerlang dalam peperiksaan, PASTIKAN MEREKA BANYAK BELAJAR SECARA OUTPUT.

Antara perkara yang ibu bapa boleh ajar bagi melatih outputnya ialah:

  • Buat banyak latihan.  Ada masa sahaja buat latihan.  Tak kiralah berapa yang dapat buat, yang penting buat.
  • Buat latih tubi.  Latih tubi bermakna latih bertubi-tubi mana-mana soalan atau topik yang anak kita lemah.  Biasanya saya akan berikan anak saya satu set soalan dan minta dia jawab.  Dari situ saya dapat lihat mana soalan yang salah dan itulah kelemahan dia.  jadi, saya akan kumpulkan banyak-banyak soalan dalam bentuk atau format yang sama dan minta dia buat latih tubi sampai pandai.  Ini secara tidak langsung 
  • Buat Simulasi Peperiksaan.  Ini penting, ada ketikanya anak-anak tidak dapat markah yang tinggi dalam peperiksaan sebab tidak sempat menjawab, tahu jawapan tetapi lambat mengira atau lambat fikir.  Jawapan selain dari TEPAT, anak-anak mesti mampu menjawab dengan CEPAT.  Oleh itu minta anak-anak buat simulasi.  Ambil satu set soalan, tetapkan masa menjawab seperti mana dalam peperiksaan, dan mulalah menjawab.  Daripada situ kita tahu sama ada anak-anak sudah bersedia atau belum untuk cemerlang dalam peperiksaannya nanti.
  • Ajar kawan.  Pesan pada anak jangan kedekut ilmu.  Apabila kita ajar kawan, kita makin faham dan makin menguasai sesuatu subjek itu.  Jangan percaya bahawa apabila anak ajar kawan maka anak orang lain akan lebh pandai daripada anak kita.  Apa yang berlaku ada sebaliknya.  Mengajar kawan itu satu proses terbaik melatih output.
  • Cerita Semula.  Ini satu tabiat yang boleh membantu output dan menajamkan minda.  Biasanya, habis sahaja belajar atau kelas, anak-anak akan tutup buku dan terus buat kerja lain.  Atau terus sembang.  Selepas ini pesan pada anak, selesai sahaja belajar, duduk sekejap, dan fikir seketika apa yang telah dipelajari selama 1 – 2 jam tadi.  Apa yang dia baca? Apa yang dia dengar?  Apa yang cikgu ajar? Apa yang cikgu cakap? Apa yang dibincangkan tadi? Dengan cara ini anak telah memperkukuhkan lagi daya ingatannya.  Tidak perlu lama, amalkan dalam 2 – 3 minit sahaja selepas belajar.  Waktu saya kecil dulu, saya siap keluarkan sehelai kertas kosong dan cerita semula apa yang telah dipelajari sambil menconteng-conteng kertas itu.  Selesai sahaja, kertas contengan tu buang lah.  Bukan nak simpan pun.

11# Tempat Belajar Yang Sesuai Di Rumah

Sediakan tempat belajar yang kondusif untuk anak dan jauh daripada gangguan.  Tidak semestinya kena ada bilik khas, cukup kalau dapat satu sudut yang dikhususkan untuk anak belajar juga memadai. 

Pastikan juga peralatan belajar dan buku-bukunya termasuk buku tambahan cukup.  Ajar anak agar susun buku agar mudah ikut jadual.  Kerap kali nak ke sekolah, ada sahaja buku yang hilang nanti.  Sebenarnya bukan hilang tapi salah letak.  Perkara macam ini boleh menggangu mood dan emosi anak.

12# Ganjaran Dan Hadiah

Jangan kedekut dan berkira untuk berikan hadiah pada anak setiap kali dia cemerlang.  Ada ketikanya dia tidak mendapat nombor satu dalam kelas, tetapi kita dapati banyak peningkatan.  Maka ganjarilah usahanya.

Hadiah tu pula biarlah sesuatu yang dia memang mahu dan harapkan.  Perlu maklumkan awal apa hadiahnya.  Usah dirahsiakan.  Hadiah Hari Lahir bolehlah rahsiakan tetapi hadiah sebab belajar kena maklumkan.  Supaya anak tahu dan anak dapat gambarkan.  Ini akan mendorong anak untuk belajar lebih bersungguh-sungguh.

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

2 thoughts on “12 Cara Didik Anak. Perkongsian Oleh Pakar Motivasi

Leave a Reply to JMR Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *