March 19, 2024

Tak Rugi Baca: Nasihatkan Pemimpin Yang Bermewah-mewah.

Hari ini riuh tentang kisah suami hadiahkan isteri jam tangan berharga setengah juta ringgit. Minggu lepas pun ada kisah suami bayar sejuta ringgit untuk isteri (dan keluarga) berbelanja di butik mewah luar negara. Kisah lain yang biasa kita dengar, ada suami hobi main kuda dan harga lobak-lobak untuk 40 ekor kudanya bernilai setengah juta ringgit setahun.

Ada suami hadiahkan suit Brioni yang sangat mahal kepada kekasih lelaki. Ada orang kaya yang gemar menunjukkan koleksi barang-barang mewahnya.

Ada pula sultan-sultan yang istananya bertatahkan emas dan berlian melebihi satu bilion harganya dengan koleksi kenderaan yang berpuluh-puluh buah. Tak perlu sebut nama, kita semua dah tahu siapa. Jika diambil secara haram atau dengan merampas hak orang miskin dan anak yatim, maka celakalah mereka.

  1. Sedangkan kebanyakan rakyat nak beli rumah yang harganya setengah juta ringgit terpaksa menanggung hutang selama puluhan tahun. Belum lagi yang susah hidupnya; kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Padahal agama Islam tak ajar pemimpin untuk hidup bermewah-mewah.

Nabi SAW tidur atas tikar kayu yang keras sampai berbekas-bekas pada tubuhnya. Abu Bakr serahkan seluruh hartanya untuk perjuangan, Umar menjadi khalifah sedang pakaiannya bertampal-tampal. Padahal mereka orang yang lebih dekat dengan rahmat Tuhan dan lebih luas empayar kekuasaannya.

  1. Dahulu Umar bin Abdul Aziz pernah ‘menegur’ iparnya, Maslamah bin Abdul Malik yang berasal dari keluarga raja dan suka bermewah-mewah. Beliau menjemput Maslamah ke rumahnya dan menahannya sejak pagi tanpa memberinya makanan. Setelah Maslamah tersangat lapar, Umar pun menghidangkan bubur kacang tanpa apa-apa ramuan. Tanpa berfikir panjang Maslamah menyantap dengan gelojoh. Setelah kenyang dengan bubur itu Umar menghidangkan pula makanan yang mewah sambil berkata : “Makanlah!”

Maslamah menjawab, :”Aku sudah kenyang dan tidak mampu makan apa-apa lagi.” Lalu Umar berkata, : “Mengapa bermewah-mewah dengan makanan yang boleh membawa kamu ke neraka, padahal makanan yang murah pun sudah cukup untuk mu?”. Sejak itu Maslamah meninggalkan kebiasaan buruknya yakni bermewah-mewah dengan makanan.

  1. Umar al-Khattab menyebut bahawa Nabi SAW pernah beri peringatan, “Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada kalian sebagaimana diperolehi oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan.”
    (Sahih Muslim)
  2. Jadi, adalah lebih baik para penasihat dan penyokong mengingatkan ketua-ketua mereka tentang kemewahan kerana kelak di depan Tuhan urusannya lebih panjang. Pasti akan ada dari sekian juta rakyat yang menuntut hak mereka di Mahsyar nanti.

Lalu pemimpin, bangsawan dan hartawan ini pun akan cuba melepaskan diri masing-masing dengan menyalahkan para penasihat yang tak beri peringatan sewaktu masih di dunia.

Penafian:Segmen “Tak Rugi Baca” ini adalah segmen khas berkongsikan tentang cerita atau perkongsian daripada rakan-rakan lain melalui channel lain seperti Facebook, Telegram, Whatsapp dan sebagainya. Ianya tiada bermaksud lain kecuali sebagai pengajaran dan teladan untuk kebaikan kita semua.

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

5 thoughts on “Tak Rugi Baca: Nasihatkan Pemimpin Yang Bermewah-mewah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *