April 25, 2024

Kini, Baki Duit Shopping Anda Pun Boleh Dilaburkan

KUALA LUMPUR: Orang ramai kini boleh melabur serendah lima sen daripada baki akhir perbelanjaan mereka ke dalam aplikasi Raiz yang kemudiannya akan dilaburkan ke dalam dana-dana unit amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Raiz adalah aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana harga berubah ASNB secara proaktif berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing.

Ia adalah cara unik untuk pengguna memanfaatkan sepenuhnya setiap sen yang dibelanjakan yang mana bakinya boleh disimpan dan dilabur. Selain daripada pelaburan yang dibundarkan, pengguna boleh memilih untuk melabur secara pelaburan sekaligus dan pelaburan berulang.

Pemegang unit boleh memulakan pelaburan dengan memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma dan memautkan kepada kad debit Maybank mereka.

Baca: Cara Daftar Akaun Pelaburan RAIZ

Mereka kemudiannya boleh memberi kebenaran kepada Raiz untuk membundarkan setiap baki pembelian harian menggunakan kad dan kemudiannya membuat pelaburan dengan duit baki berkenaan.

Pelabur juga hanya dikenakan caj RM1.50 sebulan untuk akaun dengan baki di bawah RM6,000 dan 0.30 peratus setahun (dicajkan secara bulanan, dikira setiap hari), untuk akaun dengan baki RM6,000 ke atas.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, berkata Raiz di Malaysia bermula apabila salah seorang bakat muda PNB, Aidi Izham Mohd Khalil yang kini adalah Ketua Eksekutif, Raiz Malaysia Sdn Bhd, mengemukakan ideanya di Cabaran Inovasi PNB yang diadakan secara tahunan.

Katanya, idea beliau adalah untuk membangunkan sebuah aplikasi mudah alih yang boleh melabur duit baki daripada pembelian harian secara automatik.

“Saya amat gembira kerana idea menarik ini dapat direalisasikan sebagai sebuah aplikasi mudah alih yang berpotensi besar untuk memberi manfaat kepada orang ramai secara menyeluruh.

“Didorong oleh pengalaman dan kepakaran Raiz Invest Australia, aplikasi inovatif Raiz kini tersedia dan boleh dimuat turun oleh semua rakyat Malaysia.

“Dengan pelancaran aplikasi Raiz ini dan memandangkan lebih 90 peratus rakyat Malaysia menggunakan telefon pintar, ini bermakna hampir semua orang boleh mula melabur dengan mudah melalui kaedah ini.

“Seperti kata pepatah, ‘Sikit-sikit lama-lama jadi bukit’. Dalam era teknologi kini, kita tidak perlu lagi menyimpan duit dalam tabung syiling, sebaliknya, kita dapat melakukannya dengan Raiz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi itu secara maya di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Raiz Invest Australia, George Simon Lucas dan Presiden dan Ketua Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.

Aplikasi Raiz dibangunkan oleh Raiz Malaysia, sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB), Jewel Digital Ventures Sdn Bhd dan Raiz Invest Australia Ltd, anak syarikat Raiz Invest Ltd yang disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX).

Sementara itu Ahmad Zulqarnain berkata, pihaknya menyasar 60,000 pengguna akan memuat turun dan menggunakan aplikasi itu menjelang akhir tahun ini berbanding 15,000 ketika ini.

Katanya, bagi sebuah organisasi dengan visi untuk menjadi institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia, pihaknya teruja untuk menjadi antara yang terawal untuk menggunakan peralatan serba canggih ini.

“Dengan penawaran nilai digitalnya, kami melihat potensi untuk Raiz menjadi pembuka laluan kepada mereka yang ingin mula melabur. Idea ini bersesuaian dengan usaha berterusan PNB dalam memperkasakan dan menggalakkan warga Malaysia untuk mengamalkan perancangan kewangan yang lebih berhemah,” katanya.

Baca: Cara Daftar Akaun Pelaburan RAIZ

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

3 thoughts on “Kini, Baki Duit Shopping Anda Pun Boleh Dilaburkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *