September 23, 2020

Hukum Seseorang Muslim Mengucapkan “Merry Christmas”

Setiap kali tiba 25 Disember iaitu perayaan hari Natal atau Krismas, sering kali isu ini timbul dan mengelirukan. Aku pun dah jadi konpius, boleh ke tak untuk membuat ucapan Hari Krismas? Biasanya pada petang 24 Disember, aku akan menghantar pesanan ringkas ke rakan-rakan aku yang beragama Kristian untuk wish sempena hari perayaan mereka.

Bila timbul kekeliruan sebegini, aku akan Google dan baca fakta terutama daripada mereka yang arif. Dalam hal yang melibatkan agama sebegini, aku lebih suka merujuk majlis fatwa atau mufti seperti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang aktif memberi info-info tentang isu semasa.

Definisi Merry Christmas

Merry menurut English Oxford Living Dictionaries adalah “cheerful and lively” (ceria dan meriah). Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – myrige – iaitu “pleasing, delightful” (menyenangkan, menggembirakan).

Christmas pula bermaksud “The annual Christian festival celebrating Christ’s birth, held on 25 December in the Western Church” (Festival tahunan penganut Kristian bagi menyambut kelahiran Christ, diadakan pada 25 Disember di Gereja Roman Katolik).[2] Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – Crīstes yang merujuk kepada Jesus Chris[3] dan mæsse iaitu sambutan jamuan suci (eucharist) bagi penganut Kristian khususnya gereja Roman Katolik.[4] Mass juga merujuk kepada upacara mingguan pada hari Ahad di gereja-gerja Katolik, begitu juga upacara pada Holy Days of Obligation. Ia berasal daripada Bahasa Latin; missa. Ia digunapakai pada penghujung liturgy apabila paderi berkata: Ite missa est ataupun boleh difahami dengan maksud “Upacara ini telah tamat. Bersurailah dalam keamanan (The Mass is ended. Go in peace).”[5]

Oleh itu, Crīstesmæsse dapat difahami sebagai Christ’s Mass iaitu sambutan kelahiran Jesus Christ, walaupun terdapat beberapa perbezaan pandangan tentang tarikh kelahiran Jesus Christ. Sambutan ini ditonjolkan dengan menzahirkan kegembiraan dan majlis keraian bagi kelahiran Jesus bagi menggantikan tradisi Roman Saturnalia dan perayaan-perayaan pagan yang lain sebelumnya. Sambutan ini mula berubah bentuk di England pada abad ke-19 melalui kemasukan budaya German (pokok Krismas) oleh Prince Consort dan pengaruh Charles Dickens menerusi novella beliau yang terkenal, A Christmas Carol. Lihat juga kupasan yang lebih terperinci dalam Religious Celebration: An Encyclopedia Of Holidays, Festivals, Solemn Observances, And Spiritual Commemorations, 1/211.

Bolehkah Seorang Muslim Mengucapkan “Merry Christmas”?

Selepas membaca artikel di artikel yang dikeluarkan oleh Pejabat Ini, di bawah ini adalah jawapan daripada mereka yan lebih arif.

Kenyataan Mufti Wilayah

Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar sebagaimana yang telah dilampirkan kesemuanya di atas, maka kami berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat, adalah harus dengan meraikan garis panduan yang telah kami nyatakan. Ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007’: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Kami menguatkan hujah ini melalui kenyataan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fil Islam antara lain menyebut: “Jika kita hendak menyimpulkan ajaran-ajaran Islam dalam tindakannya terhadap orang-orang yang menyalahinya dalam lingkungan apa yang halal dan apa yang haram, maka memadailah kita berpegang kepada dua ayat daripada al-Quran al-Karim yang boleh dianggap sebagai prinsip yang menyeluruh, sebagaimana firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ. إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Surah al-Mumtahanah (8-9)

Ayat yang pertama di atas tidak hanya menggalakkan seseorang berlaku adil dan saksama kepada orang-orang yang bukan Muslim, yang tidak memerangi, iaitu tidak menunjukkan permusuhan kepada kaum Muslimin dalam agamanya.

Tegasnya, mereka itu tidak menaruh niat permusuhan atau peperangan terhadap kaum Muslimin, malah ayat itu juga menggalakkan supaya berbuat baik dan memberikan layanan yang sempurna kepada mereka. Perkataan “al-birr” iaitu “baik” merupakan kalimah yang meliputi segala pengertian dan maksud yang baik umumnya dalam sebarang maksud, dan ianya adalah suatu perkara yang melebihi “keadilan”. Kalimah al-bir tersebut pernah digunakan oleh kaum Muslimin untuk menunjukkan kewajipan yang utama tentang hak-hak kemanusiaan ke atas diri mereka, ketika menggunakan perkataan itu untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa (birr al-walidain).

Kami menyatakan di sini bahawa ayat itu menggalakkan apa yang kami nyatakan kerana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang berlaku adil. Seseorang Mukmin itu mestilah berusaha dengan sepenuh daya upaya untuk merealisasikan apa yang disukai oleh Allah SWT, dengan tidak sama sekali menafikan atau menolak pengertian “menggalakkan dan menuntut” yang terdapat di dalam ayat ini, kerana ianya berbunyi dengan ungkapan “Allah SWT tidak melarang kamu…” Ini kerana ungkapan seumpama ini adalah untuk menolak apa yang terlekat di dalam pemikiran Muslim, yang mana masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.

Sesiapa sahaja yang memusuhi ajaran Islam tidak berhak baginya mendapat kebaikan, keadilan dan pergaulan yang baik.Lantaran itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia tidak melarang orang Islam untuk melakukan sedemikian, meskipun orang-orang itu menyalahi agama mereka, bahkan sekalipun mereka memeranginya dan bermusuhan terhadapnya.”

Sudah sampai masanya bagi para ulama’ menginterpretasikan apa yang didapati daripada teks-teks klasik ulama’ silam supaya meraikan kerangka cabaran masa kini tanpa meninggalkan batasan syarak. Tidak cukup hanya sekadar menukilkan apa yang dicatatkan pada lembaran kertas daripada kitab-kitab silam (fiqh al-awraq), bahkan para ulama’ perlu turun ke lapangan bagi memahami kitab al-waqi’ (‘membaca’ realiti semasa). Kemampuan untuk berinteraksi dengan teks-teks klasik inilah yang akan membawa umat Islam ke satu paradigma yang jauh ke hadapan dan lebih berpijak kepada realiti sebenar pada zaman sekarang serta tidak ketinggalan dalam arus perdana. Dengan itu, akan terzahirlah Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi rahmat ke seluruh alam jagat).

Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang sebenarnya mengikut neraca syariah.

Selesai satu kekeliruan aku pada hari ini!

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

3 thoughts on “Hukum Seseorang Muslim Mengucapkan “Merry Christmas”

Leave a Reply to Tuan Pengetua Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *