September 18, 2020

Seminggu pemergian Mama Wan. Al-fatihah.

Assalamualaikum w.b.t & Salam Jumaat yang penuh berkat,

Aku minta jasa baik kawan-kawan untuk sedekahkan AL-FATIHAH kepada arwah mak mertua aku yang telah pulang ke Rahmatullah pada hari Jumaat 3 Syawal (8.7.2016) lebih kurang jam 1 tengah hari.

Hari ini, genap seminggu pemergian Mama. Pemergian yang mengejut, dan tidak disangka. Benarlah janji Allah, ajal maut kita tidak akan pernah terlewat atau cepat sesaat pun, tidak mengira masa, usia, di mana dan bagaimana.

Kami redha.

Berat mata memandang kondisi isteri aku yang merupakan anak tunggal Mama, aku pasti berat lagi bahu isteriku memikul.

Mendapat berita pemergian Mama, semasa aku menunggu masuknya waktu solat Jumaat, sekuat mungkin aku mengawal keadaan untuk memastikan aku berjaya membawa pulang isteri bertemu dengan arwah buat kali terakhir sebelum dikebumikan. 160km/h. Takdir Dia, selaju mana aku memandu dari Besut-Klang, kalau tidak diizinkanNya, tetap tidak berjaya.

Kami sampai sebaik sahaja selesai bacaan talqin.

Sedih aku, sedih lagi anak perempuan Mama. Aku biarkan sahaja air mata mengalir laju, laju lagi air mata anak perempuan Mama.

Cucu paling rapat dengan Mama yang dijaganya dari hari pertama masih tidak memahami. Jelas, abang Dayyan tercari-cari ‘Mama Wan’nya sebaik tiba di rumah, hingga ke hari ini..

Mama menderita sakit berkaitan saraf sejak sekian lama. Derita yang mungkin tak dapat difahami oleh orang luar. Tapi sikapnya dengan orang luar, seperti seorang mama yang sangat menyayangi setiap jiwa-jiwa di sekelilingnya.

Yang mengenalinya, pasti rasa seperti yang aku rasa, termasuk rakan-rakan bloggernya yang tidak pernah bersua muka dan hanya berinteraksi di alam maya.

..bersemadilah dengan tenang dan aman di sana, Mama.

Dari awal pemergian Mama, cerita daripada makcik yang memandi, mengkafan sehingga dibawa ke liang lahad, buatkan aku tersenyum dengan kebenaran janji-janji Dia. Seakan-akan Mama sedang tidur, tersenyum dan segalanya dipermudah oleh-Nya.

InsyaAllah, saya akan menjaga satu-satunya puteri Mama dan cucu-cucu Mama dengan baik, sebagaimana Mama menjaga mereka dengan baik.

pusara

Rehatlah Mama. (3.11.1963~8.7.2016 : http://mamanorlara.blogspot.my )

Al-fatihah.

JMR

Yo, it's me, JMR!

View all posts by JMR →

11 thoughts on “Seminggu pemergian Mama Wan. Al-fatihah.

  1. Pingback: Pengalaman Hantar Anak ke Rumah Pengasuh. |
  2. Pingback: Selamat Tinggal Julai 2016. | |

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *